BEIJING - Festival Salji dan Ais Antarabangsa yang ke-41 di Harbin, China kembali lagi yang turut dimeriahkan dengan penganjuran Sukan Musim Sejuk Asia Kesembilan yang bermula pada minggu lalu.
Sebelum ini, bandar tersebut pernah menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia Ketiga pada 1996 dan Universiade Musim Sejuk pada 2009.
Sejak pembukaan festival itu pada 5 Januari lalu, ia telah dilawati lebih tiga juta pengunjung meskipun cuaca sejuk ekstrem mencecah -20 darjah Celsius.
Festival ais terbesar pada tahun ini yang berlangsung sehingga akhir Februari meliputi kawasan seluas sejuta meter persegi bersamaan saiz 140 padang bola sepak selain penggunaan kira-kira 300,000 meter padu ais dan salji untuk menghasilkan arca dan struktur yang menjadi mercu tanda acara itu.
Bukan hanya pengunjung warga tempatan, ia turut dikunjungi pelancong antarabangsa dari seluruh dunia yang enggan melepaskan peluang memeriahkan festival tahunan yang berlangsung di wilayah paling utara Heilongjiang.
Harbin turut dikenali sebagai 'bandar ais' kerana mengalami musim sejuk paling lama di Beijing berikutan ia terletak berhampiran dengan Siberia, Rusia dengan bacaan purata suhu sejuk menjunam sehingga -16 darjah Celsius.
Festival itu sebenarnya bermula dengan pertunjukan tanglung ais tradisional ketika musim sejuk pada 1963.
Pada mulanya, ia hanyalah sebuah acara kecil dan terpaksa dihentikan sementara ketika Revolusi Kebudayaan oleh Mao Zedong (1966-1976).
Jabatan Propaganda Jawatankuasa Parti Perbandaran Harbin mendapat idea penganjuran festival itu pada 1983 apabila pertunjukan tanglung diadakan sebagai simbol penghormatan kepada pegawai Hong Kong dan Macau.
Pegawai jabatan itu kemudiannya mencadangkan supaya ia dijadikan sebagai sebuah festival pada Oktober tahun sama dan mendapat lampu hijau setahun selepas itu.
Festival Ais Harbin pertama diadakan dengan penganjuran upacara terbesar di Zhaolin Park pada 5 Januari 1985, sekali gus diumumkan sebagai acara tahunan.
Pada 2001, Festival Ais Harbin pernah dianjurkan bersama Festival Ski Antarabangsa Heilongjiang yang kemudiannya diubah sebagai Festival Arca Ais dan Salji Antarabangsa China Harbin.
Ia bagaimanapun terus digelar sebagai Festival Ais Harbin kerana namanya dikatakan 'lebih sederhana'.
Pada 2024, Harbin merekodkan 179 juta ketibaan pengunjung, kekayaan sumber ais dan salji menjadikan ia sebagai destinasi global untuk pelancongan. - Agensi