SHAH ALAM – Kerajaan dicadang untuk mempertingkatkan aspek kebajikan seperti sokongan penjagaan kanak-kanak berkualiti tinggi bagi menarik lebih ramai penglibatan golongan wanita menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong berkata, inisiatif itu merangkumi penubuhan taska di dalam kem tentera dan memberikan elaun penjagaan kanak-kanak bagi mengurangkan kebimbangan kepada golongan tersebut.
"Program kesihatan dan kebajikan yang lebih kukuh juga perlu diperkenalkan seperti pemeriksaan kesihatan berkala, perkhidmatan kaunseling serta sokongan buat kaum wanita.
"Selain itu, pelan pengambilan eksklusif seperti biasiswa untuk wanita di akademi boleh diwujudkan untuk membantu golongan berkenaan membangunkan kemahiran kepimpinan dan meningkatkan prospek kenaikan pangkat mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Pada 31 Disember lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, terdapat 9,550 anggota wanita yang berkhidmat dalam ATM di seluruh negara sehingga 31 Disember tahun lalu.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu turut berkongsi bahawa jumlah tersebut meliputi 6,574 yang berkhidmat dalam sektor tentera darat, 1,953 laut dan 1,023 udara.
Mindef bagaimanapun melaporkan terdapat kekurangan lebih kurang dua peratus daripada sasaran yang ditetapkan dan kementerian berkenaan akan mengkaji semula Kertas Putih Pertahanan pada tahun ini.
Mengulas lanjut, You Fong berkata, melalui latihan khusus dan inisiatif kebajikan ia diyakini mampu menarik lebih ramai wanita menyertai ATM sekali gus menyumbang kepada keselamatan dan kemakmuran negara.
"Manfaat wanita dalam tentera tidak hanya terhad kepada kepimpinan dan kemahiran taktikal, malah ia turut meningkatkan keupayaan pertahanan diri serta meletakkan asas bagi perkembangan kerjaya masa depan.
"Kami menyeru golongan wanita untuk mencabar stereotaip jantina dan membuktikan bahawa mereka mampu memainkan peranan penting dalam pertahanan negara,” kata beliau.
Tambahnya, akademi tentera boleh bekerjasama dengan universiti tempatan dan syarikat teknologi untuk menawarkan kursus khas dalam bidang perisikan teknikal.
"Usaha ini akan memberikan pegawai wanita latihan lanjutan dalam bidang seperti keselamatan siber, analisis data dan penggunaan dron. Ia juga dapat membekalkan wanita dengan kemahiran terkini serta membolehkan mereka terlibat dalam projek teknologi ketenteraan antarabangsa.
"Dengan mempromosikan peranan seperti penganalisis keselamatan siber, komander dron, dan penyelidik bidang kecerdasan buatan (AI), kita dapat meningkatkan pengaruh wanita dalam pembuatan keputusan teknologi,” ujarnya.