TH, Saudia Airlines meterai perjanjian penerbangan sewa khas 5 tahun

Iklan
Syed Hamadah (tengah) bersama Mohd Hisham (kiri) dan Amer (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian penyediaan penerbangan jemaah haji Malaysia.

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian bersama syarikat penerbangan Saudia Airlines (Saudia) bagi menyediakan penerbangan sewa khas untuk membawa jemaah haji negara ke tanah suci untuk tempoh lima tahun bermula 2025 sehingga 2029.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kerjasama sebelum ini diperkukuhkan dengan pelantikan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi penerbangan jemaah haji negara.

Iklan
Iklan

"TH berkeyakinan syarikat Saudia dapat membantu TH dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan terbaik demi keselesaan dan kelancaran perjalanan jemaah haji.

"Atas dasar itu, kami meneruskan kerjasama untuk jangka masa panjang kerana syarikat ini telah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang pada musim-musim haji sebelum ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian antara TH bersama syarikat penerbangan berkenaan di Menara TH, Jalan Tun Razak, di sini pada Jumaat.

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, manakala Saudia diwakili oleh Pengurus Besar, Pengurusan Hasil dan Jualan, Haji dan Umrah, Amer G Alghamdi.

Iklan

Mengulas lanjut, menurut Syed Hamadah, bagi musim haji 1446H/2025M, Saudia Airlines akan menyediakan 45 penerbangan pergi dan balik dengan kapasiti sebanyak 357 penumpang.

Tambah beliau, setiap pesawat akan menerbangkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 bakal haji secara berperingkat.

Beliau berkata, kesemua penerbangan sewa khas itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarbangsa Prince Mohammad Abdulaziz, Madinah.

"Penerbangan pertama dijadualkan pada 29 April 2025.

"TH dan syarikat penerbangan Saudia akan memastikan jadual penerbangan disusun secara sistematik dan berusaha untuk menyampaikan perkhidmatan mesra secara konsisten bagi memberikan pengalaman perjalanan haji terbaik kepada duyufurrahman daripada langkah mula di tanah air, ke tanah suci sehingga pulang semula ke tanah air,” ujarnya.