CYBERJAYA - Pemeriksaan rutin menerusi Program Inspektorat Penguatkuasaan membabitkan warga asing yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkuat kuasa Khamis, menjadi pendekatan dalam usaha memastikan suasana lebih selamat dalam negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, program ini secara tidak langsung akan memberi pendidikan dan kesedaran khususnya kepada majikan untuk mematuhi peraturan.
"Pendekatan Program Inspektorak Penguatkuasaan diambil untuk timbulkan suasana dan rasa lebih selamat kepada warga tempatan.
"Bila ada pemeriksaan rutin dan berkala di seluruh negara, rakyat tidak lagi rasa gusar. Sebelum ini selalu keluar di media sosial mengatakan melihat warga asing seolah negara dijajah, jadi kita laksanakan rutin ini di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan sebuah syarikat komponen solar di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan, program ini merupakan inisiatif dalam aktiviti penguatkuasaan sebagai dimensi baharu dengan kaedah pergi dan periksa secara 'ad hoc'.
Katanya, pemeriksaan dokumen akan dilakukan secara teliti oleh pasukan penguatkuasaan.
"Semasa pemeriksaan dibuat, bila kita kesan ada warga asing yang tidak ada permit atau pas sah, kita terus ambil tindakan dan pada masa sama kita akan beri khidmat nasihat atau mesej kepada majikan atau juga pengurus premis untuk mematuhi peraturan imigresen," ujarnya.
Zakaria sebelum itu menampal pelekat simbolik program inspektorat di syarikat terbabit.
Pada masa sama, JIM telah memeriksa 614 individu termasuk 379 warga tempatan manakala selebihnya membabitkan pelbagai warga asing yang bekerja di syarikat itu antaranya Indonesia, Myanmar, Korea Selatan, Filipina dan China.