JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas maut terseret apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan tiga kenderaan di kilometer 10 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, nahas pada jam pada jam 3.15 petang itu itu membabitkan motosikal, pacuan empat roda dan lori.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun telah brek secara mengejut menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.
"Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh di lorong kiri, lalu tersangkut pada besi di bahagian tepi sebuah lori dan terseret," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa iaitu seorang lelaki berumur 72 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian badan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berjaga-jaga dan serius dalam pemanduan.
"Patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, sebarang maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis 07-3864222," katanya.