KOTA BHARU - Rakyat Kelantan yang bercuti ke Selatan Thailand diingatkan agar mengambil serius nasihat pihak berkuasa negara itu khususnya menjauhi kawasan berisiko tinggi jenayah pengedaran dadah seperti perkampungan nelayan di Narathiwat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadhli Hassan berkata, pihaknya menyedari bahawa ramai rakyat Kelantan memilih Thailand sebagai destinasi percutian terutamanya ketika musim cuti.
"Thailand memang destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan rakyat Kelantan, namun kita perlu mengambil berat nasihat pihak berkuasa Thailand mengenai kawasan-kawasan tertentu yang mungkin berisiko,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama Media Kelantan 2025 di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Rabu.
Turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim, Muhammad Yatimin Abdullah dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa.
Menurut Mohamed Fadhli, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah undang-undang ketat Thailand berkaitan dadah yang boleh membawa hukuman berat walaupun melibatkan jumlah kecil.
"Saya difahamkan Thailand sangat ketat dalam isu dadah, seseorang memiliki hanya dua biji pil pun, mereka boleh dikategorikan sebagai pengedar dan dikenakan hukuman berat.
"Kita bimbang jika ada rakyat kita yang tersilap langkah tanpa sedar,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Kelantan agar lebih berhati-hati ketika bercuti, merancang perjalanan dengan teliti, dan mengelakkan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
"Kita perlu mendengar nasihat pihak berkuasa Thailand dan menumpukan kepada tempat-tempat selamat untuk dilawati.
"Pada masa sama, langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan supaya percutian tidak bertukar menjadi perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Narathiwat, Kolonel Pratya Baiteh menasihatkan pelancong Malaysia supaya mengelakkan daripada mengunjungi perkampungan nelayan di wilayah itu kerana dikhuatiri terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang berkaitan dadah di Thailand adalah sangat ketat dan pelanggaran boleh mengakibatkan hukuman berat.
Thailand menjadi antara destinasi pilihan utama rakyat Kelantan kerana faktor jarak yang dekat dan kos yang lebih murah, bagaimanapun dengan undang-undang ketat yang dikuatkuasakan di negara itu, rakyat Kelantan disarankan lebih berwaspada agar tidak terjebak dalam masalah yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.