BANGKOK - Sebuah bas awam hilang kawalan dan terjongket setinggi tiga meter (m) di bahagian hadapan akibat tersangkut pada kabel elektrik di Persimpangan Maha Sawat, Thonburi, Bangkok.
Memetik media The Pattaya News, kejadian tersebut berlaku pada jam 12.20 pagi (waktu tempatan) pada Selasa.
Pemandu bas, Apinya, 34, berkata, dia sedang menuruni Jambatan Krungthep dan membelok ke Jalan Chim Thong ketika kemalangan berlaku.
Jelasnya, semasa membelok ke selekoh jalan, Apinya menyedari berkenaan jalan tersebut yang licin dan berminyak menyebabkan tayar hadapan bas tergelincir ke arah kabel tiang elektrik.
Difahamkan cermin sisi bas telah tersangkut menyebabkan kenderaan awam itu tidak dapat bergerak.
Ketika kejadian, tiga penumpang masih berada di dalam bas tersebut tetapi tiada kecederaan serius atau kematian dilaporkan.
Menurut Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan, pihaknya telah menghantar kren besar untuk mengangkat dan mengeluarkan bas daripada kabel tiang elektrik tersebut.