Pengusaha bengkel didenda RM1,800 gagal patuhi award TTPM

Iklan
OKS didakwa gagal mematuhi award TTPM untuk membayar tuntutan berjumlah RM11,560 kepada seorang pemilik kereta tahun lepas. Gambar hiasan

LABUAN - Seorang pengusaha bengkel kereta dijatuhkan hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar tuntutan berjumlah RM11,560 kepada seorang pemilik kereta tahun lepas.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Kamaraull Aliff Md Nuril, 30, selaku orang kena saman (OKS) oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad selepas OKS membuat pengakuan bersalah.

Iklan
Iklan

Kamaraull, yang tidak diwakili peguam, juga berdepan hukuman penjara tujuh minggu jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah gagal mematuhi Award Borang 8 TTPM yang dikeluarkan pada 25 April 2024, yang memerintahkan supaya beliau membayar ganti rugi berjumlah RM11,560 kepada Muhammad Fakhruddin Jori Roslan, 34, dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan.

Iklan

Aduan terhadap tertuduh difailkan oleh Penolong Pengawal Hal Ehwal Pengguna dari Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan pada 12 Mei 2024.

OKS didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen serta akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN Labuan, Siti Munawarrah Awg Jaafar. - Bernama