REMBAU - Suasana suram menyelubungi keluarga dan rakan-rakan Zaquan Adha serta Ayu Raudhah di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini yang kehilangan anak bongsunya pada Selasa.
Difahamkan, jenazah anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad Aisy Al Rees yang berusia enam bulan telah dibawa ke Hospital Rembau oleh kenderaan polis dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.
Sebelum ini, bayi terbabit dikejarkan ke HTJ selepas dipercayai tidak sedarkan diri di rumahnya di Taman Sri Pulai Sikamat jam 1 tengah hari.
Proses bedah siasat dijalankan jam 10.30 malam dan jenazah akan dikebumikan sebelum jam 10 pagi di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said di Seremban.
Pasangan selebriti itu tiba di hospital lewat petang dan turut ditemani Rozita Che Wan dan Zain Saidin.
Turut kelihatan menziarahi mereka di hospital iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali.
Sebelum ini, berita pemergian Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees dikongsikan sendiri Zaquan menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.
"Salam semua, anak bongsu kami telah kembali kepada penciptanya, sebentar tadi.
"Doakan saya dan isteri kuat dengan dugaan ini,” ujarnya.