KOTA KINABALU - Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berhasrat untuk memilih salah sebuah kampung di kawasan pesisir di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas di Tawau, untuk dijadikan sebagai Kampung Angkat Madani.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Jamaluddin Mohd Ali dalam pertemuan mereka pada Selasa.
Iklan
Iklan
"Daerah Tawau adalah termasuk dalam kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dan pelbagai isu berkaitan keselamatan dibincangkan.
"Ini termasuk mendapatkan pandangan bagi memantapkan kawalan di ESSZone dan salah satunya adalah dengan mengadakan program kampung angkat di kawasan tersebut," katanya selepas menerima kunjungan hormat ESSCOM di pejabatnya di Menara Kinabalu.
Jelasnya, program Kampung Angkat Madani itu diperkenalkan oleh kerajaan sebagai inisiatif Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan 'Whole of Government'.
"Kewujudan Kampung Angkat Madni ini adalah bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan," katanya.