[VIDEO] Masak lemak cili api naik harga sehingga RM1

Iklan

REMBAU - Peniaga restoran di Negeri Sembilan terutama yang mengetengahkan masakan lemak cili api berdepan dilema ekoran peningkatan harga santan ketika ini.

Para peniaga mendakwa, keadaan itu menyebabkan kos menyediakan makanan tersebut meningkat dan menjejaskan perniagaan mereka.

Iklan
Iklan
Masakan masak lemak sinonim dengan Negeri Sembilan.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, ada peniaga yang telah pun menaikkan harga bagi semua masakan menggunakan bahan mentah terbabit.

Pemilik kedai makan di Chengkau, Arina Ahmad, 59, berkata, 20 jenis masakan yang menggunakan santan di kedainya telah dinaikkan RM1 sejak minggu ini.

Iklan
Arina

"Kami peniaga, dapat harga murah sikit. Kalau sebelum ini saya beli santan RM12 sekilogram, tapi sekarang RM14.

"Itu pun peniaga santan tempat biasa saya beli dah tanya kalau mereka naikkan harga macam mana. Nak atau tak nak saya kena ambil juga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, ada juga pelanggan yang bertanya mengenai kenaikan tersebut, namun apabila diterangkan, mereka memahami.

Nor Affendi

Nor Affendi Lamsah, 60, pula berkata, buat masa ini dia masih mengekalkan harga yang sama bagi semua menu masak lemak, tetapi tidak tahu sampai bila.

Ujarnya, dia bimbang pelanggan akan lari sekiranya harga menu menggunakan santan dinaikkan, namun mengakui agak terkesan.

"Bulan puasa ini pun harga santan akan naik lagi, tak tahulah saya nak letak harga macam mana kerana biasanya kalau kita naik 20 sen pun orang dah kecoh," katanya.

Keadaan itu ujar Nor Affendi, membuatkan peniaga restoran berada dalam keadaan dilema.

Ainon

Sementara itu, Ainon Alias, 67, berkata, setiap hari dia menggunakan sekurang-kurangnya lima kilogram santan dalam masakannya.

"Memang terasalah kerana saya masak menggunakan santan segar. Harga santan bagi peniaga dinaikkan RM13 sekilogram berbanding sebelum ini RM10.

"Tapi buat masa ini harga menu masih sama. Kita jadi serba salah nak naikkan harga," katanya.

Kenaikan harga santan menyebabkan peniaga dalam dilema untuk menaikkan harga makanan yang dijual.

Seperti sedia maklum katanya, Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan makanan berasaskan santan dan bahan mentah tersebut adalah satu keperluan.

Tambahnya, dia boleh kurangkan penggunaan santan di dalam masakannya terutama masak lemak cili api, tetapi rasanya akan terjejas.

"Kalau cair nanti pelanggan juga bising. Di kedai saya ini ada empat menu masak lemak cili api," katanya.