PASIR MAS - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sudah ada rekaan bentuk jambatan baharu bagi menggantikan jambatan runtuh di Kampung Rong Chenok pada 28 November lalu.
Pengarah JPS, Dr Siti Fairus Zakaria berkata, pihaknya juga sudah melakukan pemantauan dan lawatan di kawasan berkenaan selepas menerima maklumat berkaitan.
Beliau berkata, pembinaan akan dimulakan sebaik sahaja menerima peruntukan.
"Rekaan jambatan baharu ini bersesuaian keperluan penduduk termasuk dalam aspek kelebaran dan ketinggiannya," katanya selepas melakukan lawatan di jambatan berkenaan pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Datuk Md Ismail Hamdan.
Siti Fairus berkata, jambatan dibina lebih 44 tahun itu runtuh akibat banjir besar pada tahun lalu.
Sementara itu, Md Ismail berkata, pembinaan jambatan merupakan satu keperluan sangat mendesak kerana ramai pelajar yang bersekolah di bandar.
Beliau berharap jambatan berkenaan dapat dibina dengan segera untuk kemudahan pelajar berulang-alik ke sekolah.
"Saya dimaklumkan ada pelajar terpaksa berulang-alik sehingga satu jam setengah untuk ke sekolah terletak di bandar berbanding hanya 20 minit sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan, hampir 2,000 penduduk membabitkan sembilan kampung terkesan apabila jambatan Rong Chenok runtuh akibat arus deras pada November lalu.
Jambatan sepanjang 100 meter (m) itu menghubungkan Kampung Mahligai dan Kampung Rong Chenok menjadi laluan utama penduduk ke sekolah, klinik serta pusat bandar.