Kerajaan negeri sedia kolaborasi program nutrisi kanak-kanak

Iklan
Tengku Zamrah (kanan) bertanyakan sesuatu kepada peserta Program Gunting Rambut Percuma pada Selasa.

AMPANGAN - Kerajaan negeri sedia berkolaborasi dengan jabatan kesihatan bagi program nutrisi makanan kanak-kanak.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Intergasi Nasional dan NGO, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, buat masa ini, kerajaan negeri tiada peruntukan khusus bagi program penyediaan makanan nutrisi atau makanan tambahan kepada kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu boleh diusulkan di peringkat pentadbiran negeri jika terdapat keperluan mendesak.

"Setakat ini, belum ada aduan daripada ibu bapa, jika ada Insya-ALLAH masalah tersebut akan diberikan perhatian serta langkah perlu.

Iklan

"Perkara ini belum dibincangkan bersama pengarah jabatan kesihatan negeri tapi mungkin boleh koloborasi antara pejabat kesihatan dan Exco kesihatan bagi tujuan itu," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan inisiatif kerajaan negeri dalam menangani isu kekurangan nutrisi dihadapi dalam kalangan kanak-kanak.

Iklan

Terdahulu, Tengku Zamrah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan merasmikan Program Gunting Rambut Percuma Kembali Ke Sekolah di Dewan Orang Ramai Taman Dusun Nyior.

Program anjuran DUN Ampangan itu menyediakan khidmat gunting rambut percuma dan beg sekolah kepada 100 hingga 150 pelajar.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2022, sebanyak 21.2 peratus kanak-kanak mengalami tumbesaran terbantut akibat kekurangan nutrisi.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor mengambil langkah proaktif dengan menyediakan bakul makanan melalui program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) kepada kanak-kanak terpilih.