Tembakan di Setia Alam: Polis yakin berkas suspek dalam masa terdekat

Iklan
Usaha mengesan suspek giat dijalankan polis. Gambar kecil: Hussein

SHAH ALAM - Polis yakin dapat memberkas lelaki bersenjata yang terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya telah giat dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Lain-lain perkara tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini kerana ia boleh menjejaskan usaha memburu suspek.

"Suspek telah dikenal pasti susulan kejadian itu dan operasi memburunya sedang dilakukan. Kita yakin akan menangkap suspek dalam masa terdekat," katanya pada Selasa.

Iklan

Dalam insiden pada Sabtu, suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an telah melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah itu semasa berada di aras P1.

Mangsa yang cedera di punggung dan kaki telah menyelamatkan diri masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan, manakala suspek melarikan diri ke tingkat P2.

Iklan

Suspek kemudian menahan sebuah Perodua Ativa dan mengacukan pistol sebelum mengarahkan untuk membawanya keluar dan turun di tepi lebuh raya lalu menghilangkan diri.

Polis mengesahkan suspek terbabit memiliki 11 rekod lampau bersabit kes jenayah serta dadah.