SHAH ALAM - Krisis politik yang berlaku di Sabah diyakini tidak menjejaskan sokongan terhadap kerajaan Persekutuan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 negeri itu tahun ini.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, walaupun suasana politik di Negeri Di Bawah Bayu itu agak berlainan, namun diyakini tidak menjejaskan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Madani.
"Walaupun di peringkat persekutuan mereka bergabung (seperti) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Madani, UMNO juga menyokong Kerajaan Madani dan beberapa parti-parti lain.
"Kecuali parti yang bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN), kebanyakan parti lain menyokong Kerajaan Perpaduan.
"Saya tidak fikir isu di Sabah ini boleh memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan di Persekutuan kerana rakyat Sabah umumnya menyokong... atas faktor kestabilan, kita lihat di Sarawak pun Gabungan Parti Sarawak (GPS) memang sepenuh hati menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Dalam masa sama, Mazlan berpendapat, krisis di Sabah disifatkan sebagai persaingan antara satu sama lain dan menyakini bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai formula untuk menyelesaikannya.
Beliau juga berpendapat kemungkinan akan wujud perundingan antara parti-parti di negeri tersebut memandangkan selama ini sokongan terhadap kerajaan Persekutuan datangnya dari parti di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Saya fikir mereka di Sabah akan mendahulukan kestabilan, demi kestabilan, mereka boleh berkompromi, asalkan perbincangan yang baik untuk situasi menang-menang antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut memberi gambaran bahawasanya penerimaan terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN) di Sabah, seolah-olah telah ditolak.
"Kita saksikan di Sabah sekarang ini, mereka seolah-olah menolak PN, contohnya seperti Parti Maju Sabah (SAPP) di bawah Datuk Seri Yong Teck Lee telah mengumumkan keluar daripada PN, demikian juga Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Parti Solidariti Tanah Airku-STAR),” katanya.
Mazlan turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO Sabah mempunyai formula menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan besar kemungkinan parti berkenaan akan bergabung menghadapi PRN Sabah dan menyokong Kerajaan Madani.