JKDM capai kejayaan luar biasa, peroleh hasil bersih RM65.57 bilion pada 2024

Iklan
JKDM mencapai kejayaan luar biasa dengan mengutip hasil bersih tertinggi dalam sejarah berjumlah RM65.57 bilion pada tahun lalu. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencapai kejayaan luar biasa dengan mengutip hasil bersih tertinggi dalam sejarah berjumlah RM65.57 bilion pada tahun lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah itu bukan sahaja melepasi sasaran awal sebanyak RM56 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Iklan
Iklan

Malah kata beliau, ia turut mengatasi unjuran hasil yang disemak semula berdasarkan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 iaitu sebanyak RM61.17 bilion.

Beliau berkata, kejayaan tersebut mencatatkan lebihan sebanyak RM9.57 bilion dan dengan pencapaian mengagumkan sebanyak 117.08 peratus.

Iklan

"Sebagai perbandingan, kutipan hasil JKDM pada 2023 berjumlah RM55.17 bilion, berbanding RM65.57 bilion pada tahun lalu.

"Peningkatan tahunan ini mencatatkan tambahan kutipan hasil sebanyak RM10.4 bilion, bersamaan dengan kenaikan sebanyak 18.85 peratus," katanya ketika berucap pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anis berkata, JKDM sangat menghargai sokongan padu dan sangat berbangga dengan semangat ditunjukkan oleh semua warga jabatan itu yang sentiasa bekerja keras sepanjang 2024.

Kata beliau, semua anggota dan pegawai telah membuktikan bahawa jabatan itu sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Bagi 2025, menurut beliau, MOF telah menetapkan sasaran kutipan hasil JKDM sebanyak RM67.25 bilion.

Bermula awal tahun ini, katanya, JKDM telah menggerakkan seluruh jentera dalam memastikan sasaran kutipan hasil pada tahun ini akan dapat dicapai.

"Sebagaimana kejayaan yang telah dicapai pada tahun lalu, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2025 ini. Insya-ALLAH," katanya.