KOTA BHARU - Seorang bekas pengusaha kedai perabot dihadapkan ke Mahkamah Majistret 2 di sini atas pertuduhan gagal mengembalikan wang upah pelanggan sebanyak RM35,500 bagi tempahan kabinet dapur.
Orang kena saman (OKS) berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang pernah menjalankan perniagaan perabot di Kota Bharu gagal mematuhi arahan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar balik wang seorang pelanggan selepas gagal menyiapkan tempahan kabinet dapur seperti yang dijanjikan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Wan Mohd Raziff Wan Ghazali, memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 berserta syarat tambahan bagi memastikan kehadiran tertuduh pada prosiding seterusnya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dengan syarat tambahan, iaitu seorang penjamin dewasa serta perlu melapor diri ke KPDN Kelantan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen pendakwaan.
Tertuduh yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kluang, Johor, membayar jaminan tersebut sebelum dibebaskan.