'Penduduk Palestin boleh bina sendiri hotel, restoran di Gaza'

Iklan
Grand Palace Hotel bertaraf tiga bintang terletak di al-Rasheed Street di Gaza.

BANDAR GAZA - Penduduk Gaza berazam untuk membina sendiri hotel dan restoran di kawasan tepi pantai wilayah itu untuk menolak idea mengarut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mewujudkan 'Riviera Asia Barat' di enklaf berkenaan.

Sebelum perang genosid dilancarkan rejim Zionis pada 7 Oktober 2023, wilayah yang berpopulasi kira-kira 2.2 juta orang itu telah pun membangunkan lokasi pelancongan tempatan di tepi pantai Mediterranean meskipun berdepan kepungan haram Israel.

Iklan
Iklan

"Tiada apa yang tidak boleh dipulihkan semula. Trump kata beliau mahu mengubah Gaza dan mencipta sejarah baharu. Kami adalah penduduk asal di sini dan sejarah Arab tidak boleh diganti dengan sejarah orang asing,” kata Assad Abu Haseira yang mahu mula berniaga di restoran miliknya sebelum ia dibina semula.

Seorang lagi penduduk Palestin, Mohammed Abu Haseira berkongsi pendapat sama.

Iklan
Hotel Al deira di tepi pantai Gaza yang separa musnah dibedil Zionis.

"Trump beri cadangan mahu mengubah infrastruktur di sini. Hotel dan restoran sudah ada sebelum ini. Mengapa anda binasakan struktur yang sedia ada untuk bina yang baharu?” ujarnya.

Difahamkan, Gaza pernah menjadi destinasi popular buat pelancong Israel walaupun selepas Hamas mengambil alih pentadbiran enklaf itu pada 2007.

Iklan

Restoran dan kafe di tepi laut yang menyajikan pemandangan memukau Laut Mediterranean antara yang menjadi tarikan utama sebelum ini.

Pentadbiran Trump secara tiba-tiba muncul dengan idea tak masuk akal apabila ia merancang untuk 'mengosongkan' Gaza dengan melakukan pemindahan paksa ke atas penduduk Palestin untuk membangunkan semula wilayah itu menjadi pusat peranginan antarabangsa.

Sebuah kafe dan restoran di tepi pantai yang turut binasa dalam perang genosid selama lebih 15 bulan.

Rayu bantuan RM28.9 bilion

Ketika gencatan senjata goyah masih berkuat kuasa, penduduk Palestin merayu bantuan kecemasan berbilion dolar untuk membersihkan timbunan sisa runtuhan yang musnah dibedil Zionis.

Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin (PA) menganggarkan dana yang diperlukan berjumlah kira-kira AS$6.5 bilion (RM28.9 bilion) untuk mewujudkan tempat tinggal sementara buat lebih dua juta penduduk sebelum projek pembinaan semula jangka panjang bermula.

Pada minggu lalu, Wakil Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff menjangkakan usaha pembangunan Gaza itu mengambil masa selama 10 hingga 15 tahun, namun perlu ada penempatan sementara buat penduduk Gaza.

Di bandar al-Arish tidak jauh dari lintasan Rafah, kira-kira 1,000 trak membawa bantuan kemanusiaan termasuk khemah dan karavan beratur panjang menunggu kebenaran untuk memasuki Gaza.

Restoran Alqalaa di tepi pantai Gaza antara yang menjadi tarikan utama sebelum perang genosid itu bermula.

"Percanggahan kenyataan beberapa pihak antara punca kami terkandas di sini sedangkan terdapat keperluan mendesak untuk jentera berat ini segera tiba di Gaza,” ujar pemandu trak, Rami el-Edwan.

Lebih setengah juta penduduk Palestin yang kembali ke utara Gaza berdepan longgokan sisa runtuhan di tapak rumah masing-masing."Tiada apa lagi yang tinggal. Kami juga tiada tempat untuk menginap kerana seluruh bandar binasa.

"Kami tidak tahu bila projek pembinaan semula akan dilancarkan dan sampai bila gencatan senjata ini mampu bertahan. Kami juga tidak mahu dilupakan komuniti antarabangsa,” kata ahli perniagaan, Imad Turk yang kehilangan rumah dan kilang kayu miliknya di Bandar Gaza.

Sebelum ini, beberapa negara seperti Mesir, Qatar, Jordan, Turkiye dan China telah menzahirkan kesediaan untuk membantu projek pembangunan semula Gaza, namun Palestin mendakwa proses itu sengaja ditangguhkan Israel. - Agensi