SHAH ALAM- Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyindir tindakan berterusan pemimpin Pas yang didakwa menyebarkan fitnah, sambil mempersoalkan sama ada mereka benar-benar jahil atau sengaja menggunakan strategi politik berbentuk kebencian perkauman.
Menurut Rafizi, Pas berulang kali terpalit dengan isu fitnah yang melibatkan individu tertentu, termasuk dakwaan palsu mengenai hubungan keluarga pemimpin politik kaum lain.
Beliau merujuk kepada kes terdahulu, seperti tuduhan Lim Kit Siang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Lee Kuan Yew dan dakwaan Hannah Yeoh sebagai keturunan YTL.
Rafizi mempertikaikan sama ada pemimpin Pas seperti Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria tidak tahu bahawa fitnah sebegini boleh memusnahkan imej parti itu di mata rakyat atau sebenarnya mereka sedar tetapi memilih untuk meneruskan naratif tersebut demi meraih sokongan politik.
"Jika mereka tidak tahu dan tidak menyemak terlebih dahulu, ini menggambarkan mutu kepimpinan mereka.
"Maknanya mereka tidak mementingkan ilmu dan fakta, atau pun betul-betul malas," kata menerusi Facebook pada Ahad.
Bagaimanapun Menteri Ekonomi itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Pas sedar mengenai kesilapan fakta tersebut tetapi tetap menggunakan fitnah sebagai strategi politik.
"Mereka mungkin rasa ini strategi politik yang genius, tapi ia memberi gambaran bahawa jika mereka bergayut kepada kebencian perkauman untuk berkuasa dan bukannya kecekapan mentadbir, rosaklah negara," tambahnya.
Rafizi turut mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan strategi yang berasaskan kebencian dan menyeru agar politik Malaysia berlandaskan fakta serta pentadbiran yang berkesan.