SHAH ALAM - Pendekatan baharu terus diambil Rasuah Busters dalam tekad pasukan itu mahu rakyat Malaysia bangkit perangi dua musuh utama negara iaitu rasuah dan dadah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, sebuah negara, komuniti dan keluarga boleh runtuh disebabkan dua perkara tersebut.
"Ini adalah perkara amat penting tetapi apa ingin disampaikan Rasuah Busters adalah kesedaran tentang melawan rasuah boleh diambil menerusi pelbagai pendekatan.
"Tidak semestinya menerusi program bicara atau sebar risalah kerana banyak bentuk kreativiti boleh dipupuk bagi menarik minat masyarakat seiring keadaan semasa.
Nurhayati ditemui pada Majlis Pelancaran Gendang Perang Tempur Rasuah Hancur Dadah dengan kerjasama Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor di sini pada Ahad.
Pelancaran Gendang Perang Tempur Rasuah Hancur Dadah itu disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim sempena Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Nurhayati mengulas lanjut berkata, gendang adalah simbolik dan elemen yang signifikan dalam melambangkan semangat perjuangan ke semua bangsa.
"Walaupun hari ini kita tidak dihadapkan dengan perang fizikal, namun dalam konteks pelancaran gendang perang hari ini adalah untuk mengajak rakyat bangkit perangi dadah serta rasuah.
"Bermakna, paluan gendang itu adalah sebuah seruan semangat juang yang kita hendak terapkan untuk menyediakan minda, pasukan dan senjata yang ampuh yang perlu diterbitkan dalam diri untuk siap melawan rasuah dan dadah habis-habisan" ujarnya.
Beliau menambah, bagaimana usaha itu tidak boleh dilakukan secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama erat dengan semua pihak berkuasa.
"Jadi kita bersama pemegang taruh seperti MBI, Pemadam, pihak berkuasa tempatan dan pada hari ini bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan orang awam juga bergabung melaksanakan tanggungjawab ini.
"Ini bagi menunjukkan bahawa usaha yang mahu dilakukan ini tidak boleh secara bersendirian kerana kita mahu menyelamatkan seluruh ekosistem yang didukung melalui peranan masing-masing.
"Oleh itu semangat perjuangan ini ditiupkan dalam suara dan gema gendang, terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai gema gendang tersendiri yang juga simbol perpaduan menjadi tunjang pelancaran gendang perang hari ini. Formula keharmonian inilah yang akan mampu membebaskan Malaysia daripada rasuah dan dadah," tambahnya.