SHAH ALAM - Kejayaan papan pemuka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bergantung kepada ketegasan pelaksanaan, komitmen politik dan penglibatan masyarakat dalam memantau perkembangannya menangani rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya terus memainkan peranan sebagai badan pemantau bebas bagi memastikan NACS dilihat sebagai dokumen dasar dan diterjemahkan kepada tindakan membawa perubahan sebenar dalam sistem pentadbiran negara.
Ujar beliau, data yang dipaparkan perlu terperinci dan merangkumi metrik jelas mengenai tahap pelaksanaan dasar antirasuah, cabaran dan kejayaan intervensi.
"Selain itu, audit berkala dan bebas oleh pihak ketiga bagi memastikan maklumat disediakan tidak berat sebelah atau dikawal oleh pihak berkepentingan.
Media pada Khamis melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan papan pemuka NACS sebagai usaha membolehkan orang ramai meninjau kemajuan pelaksanaan strategi berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi inisiatif itu, orang ramai boleh memantau kemajuan setiap substrategi di bawah tanggungjawab kesemua 19 ketua agensi peneraju NACS.
Menurut Jais, akses masyarakat terhadap NACS akan meningkatkan kesedaran rakyat dan membolehkan mereka menilai sejauh mana keberkesanan usaha membanteras rasuah di negara ini.
Katanya, bagaimanapun keterbukaan maklumat dalam data prestasi strategi itu mesti bebas daripada unsur manipulasi atau penyembunyian fakta dan maklumat sebenar.
"MCW menggesa agar data yang dipaparkan dalam papan pemuka NACS mesti bersifat secara langsung, objektif dan boleh diaudit secara bebas.
"Seperti mana papan pemuka Ketua Audit Negara yang menyediakan laporan ketelusan mengenai prestasi kementerian dan agensi, NACS mesti memastikan setiap kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan benar-benar bertanggungjawab terhadap pelaksanaan strategi ini,” ujarnya.