Ilhami Hisham terkenangkanmu

Iklan
Ilhami Hisham meninggal dunia pada 16 Januari lalu.

KELAZIMAN dalam korpus sastera kebangsaan, tulisan mengenang penulis (baca: belasungkawa) tertumpu kepada tokoh pengarang atau sasterawan dan janggal sekali memaparkan penulis kerdil (baca: kerdil dari segi kuantiti karya) apabila seseorang pengarang itu meninggal dunia.

Namun tulisan ini mahu memecah tradisi dengan merakam detik-detik kenangan yang tak terlupakan antara penulis dengan Ilhami Hisham yang telah pergi ke alam baqa beberapa hari yang lalu.

Iklan
Iklan

Ismail Hashim atau nama sasteranya, Ilhami Hisham anak kelahiran Kampung Padang Temesu, Pokok Sena, Kedah, seorang ustaz merangkap penulis kreatif dan wartawan. Dilahirkan pada 6 Jun 1966 dan meninggal dunia pada 16 Januari 2025 kerana angin ahmar.

Ilhami Hisham (depan) anak kelahiran Kampung Padang Temesu, Pokok Sena, Kedah.

Mendapat pendidikan awal dan menengah di Jitra, Kedah kemudian mengikuti pengajian agama di Kelantan, Selangor dan Sekolah Agama Taufiqiah, Guar Chempedak, Kedah.

Iklan

Selepas menuntut ilmu, Ilhami berkhidmat di Maahad Tarbiyah Islamiah, Derang, Pokok Sena bermula tahun 1990 kemudian menjadi wartawan lokasi sehingga dilantik Ketua Biro sebuah akhbar politik bagi kawasan Kedah dan Perlis.

Dari tahun 2003 hingga 2009 Ilhami berkhidmat dengan akhbar Media Permata, Negara Brunei Darussalam. Pada tahun 2010 beralih pula ke akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor.

Iklan

Selain menulis, Ilhami aktif menerbit dan berniaga buku serta bergiat dalam Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Meskipun keterlibatannya dalam arena sastera dan peniagaan buku berjalan serentak namun Ilhami sempat menghasilkan buku bertajuk Biografi Ustaz Niamat Yusof: Ulamak Arkitek Kemanusiaan yang diterbitkan pada 2004 dan Perantau di Tebing Derang (2016) selain menulis puisi, rencana, antaranya pernah tersiar dalam e-sastera digital, dan majalah Tunas Cipta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ilhami galak menulis untuk akhbar dan majalah arus perdana pada 1992 hingga 1993 malah pada 2003 hingga 2009 dia telah menulis kira-kira 600 buah artikel motivasi yang disiarkan dalam akhbar Media Permata manakala sebanyak 40 artikel lagi dibukukan dengan judul Penawar Untuk Semua dan Purnama Bersinar.

Corak penulisan Ilhami berasaskan kaedah kewartawanan baharu (new journalism) yang dipopularkan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dan disambung pula oleh pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Talib Samat.

Kembara sastera

Sahabat ini mula penulis kenal ketika dia menyertai bengkel biografi, autobiografi dan memoir anjuran Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan DBP pada 19 hingga 20 April 2013 di Ipoh. Dia meminati penulisan autobiografi kerana katanya, banyak hal diri yang harus dirakamkan.

Memang pun Ilhami sebelum menjadi penulis beliau terbabit membangun insaniah pelajar Maahad Derang semenjak 1990 lagi dengan memperkenalkan program Muhadhoroh yang melatih bersyarah, membaca khutbah Jumaat, tamsiliah (pentomin), berbalas pantun, bacaan al-Quran, azan dan nasyid.

Kegiatan itu ditekuninya sebelum beralih angin merantau ke Kuala Lumpur untuk menambah rezeki serta mencari pengalaman dalam bidang penulisan.

Maahad Derang yang ditinggalkannya telah didirikan oleh Sheikh Niamat Yusoff, orang kampungnya seorang tokoh agama terkenal di Kedah.

Sheikh Niamat seorang aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Ulamak Kedah (PUK) lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir juga seorang penulis dikenali dengan nama sasteranya, Niamaty menghasilkan pelbagai genre sastera yang terarah kepada Islam.

Pernah bergiat aktif bersama-sama Azizi Haji Abdullah dan Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad dalam badan penulis di Kedah; Gabungan Sasterawan Sedar (GATRA) pada sekitar tahun 1960-an.

Di Kuala Lumpur Ilhami melebarkan kegiatan penulisannya dengan menubuhkan BeTA (Bersama Terbitkan Antologi) dan trak buku IBH yang sempat menerbitkan beberapa buah buku sastera dan umum, antaranya antologi puisi; Langit dan Awan (2016), Semangat Hijrah Jiwa Merdeka (2016), 40 Cerpen Jadi Novel (2016), 50 Penulis 50 Cerpen (2016), Khidmat kerana Dia (2017) dan Bagaimana Mula Menulis (2023) tetapi pada tahun 2017 dia kembali ke kampung halamannya sambil berkarya serta menyantuni semula Maahad Derang hingga akhir hayatnya.

Aktiviti BeTA ini sempat singgah di rumah penulis pada 11 Februari 2016. Selain berbual-bual hal sastera dan persuratan, mereka turut meneliti beberapa buah buku sastera yang dihasilkan di samping mengeratkan silaturrahim dalam kalangan pengamal sastera negeri yang dikunjungi.

Bertemu di Masjidil Haram

Beberapa bulan selepas terjalin persahabatan, Ilhami mengundang penulis menyampaikan ceramah dalam bengkel penulisan autobiografi yang dianjurkan BeTA di Kajang.

Namun jemputan itu terpaksa ditolak kerana sama tarikh penulis dijadualkan membentangkan kertas kerja di Seminar Antarabangsa, Sejarah, Budaya dan Bahasa di Alam Melayu Nusantara ke-5 di Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia.

Tetapi Ilhami sanggup menganjakkan tarikh program ke 30 Julai 2016 sehari selepas penulis kembali dari Makassar.

Kesanggupan Ilhami menunda tarikh yang telah dirancang sekian lama menyebabkan penulis berasa kaget malah tergamam kerana penulis digandingkan dengan Sasterawan Negara, Dr Muhammad Haji Salleh bagi mengendalikan bengkel berkenaan.

"Apakah ini satu ujian kepadaku?” bisik hati penulis.

Soalan itu tidak terjawab hingga ke hari ini namun sesuatu peristiwa yang sukar dipercayai telah terjadi dalam jalur persahabatan kami. Suatu hari penulis menerima WhatsApp Ilhami dari Mesir.

Beliau bertanya di mana penulis berada lantas penulis beritahu masih di Tanah Haram Makkah. Ilhami membalas,"kita jumpa nanti.” Antara harap dengan tidak, penulis melupakan kata-kata Ilhami.

Maha Kaya ALLAH SWT, seusai solat Subuh pada 18 Febuari 2018 tanpa diduga kami dipertemukan di Masjidil Haram. Tiada kata yang terucap melain berpelukan sambil menitiskan air mata syukur!

Semenjak pertemuan di Masjidil Haram itu kami tidak langsung ketemu melain menatap hantaran Facebook untuk mengikuti perkembangan masing-masing sehinggalah penulis membentangkan kertas kerja tentang kepenyairan Suhaimi Haji Muhammad di Simposium Penulis Utara di USAS Resort, Kuala Kangsar pada 27 Mei 2023.

Penulis tidak menyangka Ilhami hadir ke simposium itu melainkan setelah terlihat gambar penulis sedang berucap di simposium anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia itu daripada hantaran Facebook miliknya.

Timbul tanda tanya kenapa Ilhami tidak datang menemui penulis selepas pembentangan kertas simposium walhal kami berada dalam dewan yang sama ketika itu.

Tetapi hal ini tidaklah membekas di hati penulis namun apabila Ilhami pulang ke alam baqa, barulah terasa bahawa pertemuan di Masjidil Haram itu merupakan pertemuan terakhir kami yang direncanakan oleh ALLAH SWT.

Sesungguhnya, persahabatan itu sesuatu yang tak terkenangkan. Dalam doa kudus ini, al-Fatihah mengiringmu, sahabatku. Tenanglah engkau di sana!

*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin ismail. BEliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Karyawan Pk.