SHAH ALAM - Golden Screen Cinemas (GSC) Setia City Mall akan kekal ditutup untuk sepanjang malam Sabtu.
GSC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membayar semula kepada pelanggan yang membeli tiket dalam talian untuk pertunjukan malam ini.
Menurut GSC, bayaran balik akan diproses secara automatik dan dikreditkan semula dalam masa 14 hari bekerja dan tiada tindakan lanjut diperlukan.
"Manakala pembelian eKiosk (on-ground) pula, pelanggan perlu pergi ke GSC Setia City Mall dalam tempoh tujuh hari selepas kami menyambung semula operasi untuk mendapatkan bayaran balik.
"Bagi pelanggan yang tayangannya terganggu (kira-kira rancangan selepas jam 9.30 malam), anda juga layak mendapat bayaran balik mengikut proses yang sama," ujarnya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, polis mengesahkan satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata pasukannya baru tiba di lokasi.
GSC turut membuat permohonan maaf di atas sebarang kesulitan.
"Keselamatan anda tetap menjadi keutamaan kami, dan kami menghargai pemahaman anda.
"Disebabkan kejadian di Setia City Mall, pusat membeli-belah itu telah ditutup buat sementara waktu dan semua pelanggan telah diminta mengosongkan premis tersebut," ujarnya.