Penunggang motosikal maut rempuh kereta belok simpang

Iklan
Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Mak Lagam – Cheneh di sini pada Sabtu. Foto orang awam

KEMAMAN - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Mak Lagam – Cheneh di sini pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, mangsa berusia 31 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda C100 itu gagal mengelak kereta Perodua Axia yang membelok ke simpang di sebelah kanan, dalam kejadian jam 8.15 pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

"Mangsa dari arah Mak Lagam menuju ke Cheneh manakala kereta dipandu oleh seorang wanita berumur 24 tahun itu dari arah Cheneh menuju ke Paya Berenjut.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta telah membelok ke simpang di sebelah kanan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan telah melanggar bahagian pintu hadapan sebelah kiri kereta," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Iklan

Akibat kemalangan itu, Wan Muhammad berkata, penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Kemaman.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk tujuan bedah siasat manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebranag kecederaan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," ujarnya.