BUTTERWORTH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengadakan sesi libat urus di seluruh negara sebelum memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif termasuk jururawat, penolong pegawai perubatan dan pemandu ambulans.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah menghadiri beberapa sesi libat urus di Pulau Pinang, Pahang, Kota Kinabalu (Sabah), Batu Pahat (Johor), dan yang terakhir di Terengganu pada minggu depan bagi mendapatkan pandangan semua pihak berkaitan.
Menurutnya, kementerian akan mengambil kira semua maklum balas yang diterima sebelum membuat keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.
"Beri masa kepada KKM untuk mengadakan semua libat urus ini dahulu. Saya sendiri sudah melihat kecenderungan, permintaan dan tuntutan mereka.
"Ini bukan perkara yang sukar untuk saya atasi dan kita akan mencapai satu keputusan yang baik khususnya bagi kebajikan jururawat.
"Saya akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU) di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan menetapkan jururawat bekerja secara syif selama 45 jam seminggu berbanding 42 jam ketika ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, kelonggaran syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan adalah langkah penting bagi menarik lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai bidang berkenaan.
Beliau memberi jaminan bahawa kualiti latihan kejururawatan tidak akan terjejas walaupun kelayakan masuk dikurangkan kerana kualiti kursus dan tahap kelulusan tetap dikekalkan.
"Kita masih mengekalkan standard latihan dan kemahiran graduan jururawat meskipun syarat kemasukan dilonggarkan,” katanya.
Dr Dzulkefly sebelum ini mengumumkan bahawa syarat baharu itu akan terpakai kepada pelajar yang mendaftar bagi pengambilan tahun 2025 dan 2026.
Di bawah syarat lama, calon perlu memperoleh lima kepujian dalam SPM, termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan satu mata pelajaran Sains, serta lulus dalam Bahasa Inggeris. Namun, dengan syarat baharu, pemohon hanya perlu mendapat kredit dalam Bahasa Melayu, Matematik dan satu subjek Sains serta lulus dalam dua subjek tambahan termasuk Bahasa Inggeris.
Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada penambahbaikan terma perkhidmatan dan imbuhan jururawat, berbanding sekadar melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM18.9 juta tahun ini bagi melaksanakan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) di klinik kesihatan seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem tersebut akan melibatkan 100 klinik kesihatan di seluruh negara termasuk 10 klinik di Pulau Pinang.
"Pelaksanaan ini akan bermula tahun ini, dengan Langkawi menjadi lokasi terbaru yang akan dilengkapi dengan sistem ini,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, kerajaan juga akan melaksanakan sistem rekod perubatan elektronik (EMR) di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya, dengan pelaksanaan dijadualkan pada tahun 2026.
"Hospital-hospital lain juga akan dilengkapi dengan sistem ini secara berperingkat mengikut perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendigitalkan semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan digital serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.