Denggi: Jangan rasa selesa, teruskan jaga kebersihan

Iklan
Azli (tiga dari kiri) menerima cenderamata ketika program Plogging Perdana di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Orang ramai khususnya penduduk setempat diingatkan agar tidak berada dalam zon selesa sebaliknya terus menjaga kebersihan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes denggi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, masyarakat tidak wajar mengambil sikap lepas tangan walaupun telah mencatatkan sifar kes denggi dalam sesuatu kawasan atau lokaliti.

Iklan
Iklan

"Kita mahu aktiviti seperti bergotong-royong ini sentiasa dilaksanakan berterusan. Tak boleh hanya buat sekali kemudian apabila sudah sifar kes kita sudah tidak buat.

"Hakikatnya, nyamuk ini boleh datang balik dan membiak kalau kebersihan tidak dijaga. Jadi, kes demam denggi boleh meningkat semula lebih-lebih lagi apabila musim hujan yang mana banyak air bertakung.

Iklan
Antara penduduk yang menyertai program Plogging Perdana di Dewan Cengal MBSA Seksyen 24, Shah Alam pada Sabtu.

"Kita mahu mengurangkan kes ini dalam masyarakat dan salah satu cara untuk lakukan ialah dengan kesedaran. Jadi, saya amat memberi galakan dan akan berikan dana atau bantuan sekiranya ada lokaliti lain mahu buat program cegah nyamuk aedes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Plogging Perdana di Dewan Cengal Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 24 di sini pada Sabtu.

Iklan

Program yang memfokuskan aktiviti joging sambil mengutip sampah itu disertai oleh hampir 300 penduduk.

Ia dianjurkan oleh Ahli Majlis MPP Zon 8 MBSA, Aisyah Zain dengan kerjasama Communication for Behavioural Impact (COMBI) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Dalam pada itu, Pengerusi COMBI Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8, Norizan Marlan berkata, terdapat enam kes demam denggi telah direkodkan di dua lokaliti melibatkan Alam Prima, Seksyen 22 dan Seksyen 24 di sini sejak awal Februari lalu.

Menurutnya, lokaliti itu mencatatkan kes baharu selepas tiga bulan berturut-turut sifar kes demam denggi.

"Sebenarnya, lokaliti Seksyen 24 ini adalah yang paling tinggi kesnya kalau di daerah Petaling, tetapi dalam tempoh tiga bulan iaitu antara November 2024 hingga Januari 2025 kita berjaya catat sifar kes demam denggi.

"Tiba-tiba minggu ini kita dapat makluman bahawa ada kes di dua lokaliti iaitu masing-masing mencatatkan tiga kes di Alam Prima, Seksyen 22 dan Seksyen 24,"

"Setiap tahun kita akan buat plogging tetapi tidak pernah buat sebesar ini kerana biasanya ia dianjurkan untuk setiap lokaliti dan hari ini kita akan pergi ke lokaliti yang ada kes untuk beri fokus utama di sana," ujarnya.