SHAH ALAM - Kumpulan Pesara Kerajaan G25 (G25) menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan memperkenalkan garis panduan berkaitan penglibatan umat Islam dalam majlis perayaan serta upacara kebudayaan bukan Islam pada Jumaat.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, cadangan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk masyarakat bukan Islam kerana berisiko mencetuskan pemisahan hubungan baik di antara penganut pelbagai agama di Malaysia.
Jelas mereka, cadangan mewujudkan garis panduan berkenaan juga dibimbangi tidak membantu memupuk keharmonian kaum, malah berisiko menjejaskan aspek perpaduan sosial dan budaya.
"Keputusan Kabinet ini menunjukkan bahawa kita perlu meraikan kepelbagaian, bukan mengehadkan interaksi antara agama.
"Keharmonian tidak boleh dibina melalui peraturan ketat, sebaliknya melalui dialog terbuka dan rasa hormat,” kata kumpulan pada Sabtu.
Sebelum ini, Anwar menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam.
Menteri Kewangan itu turut menegaskan umat Islam sebaliknya hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan.
Hal ini susulan keputusan Kabinet bersetuju bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Terdahulu, Mohd Na'im dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan bersama mereka, dilaporkan berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.
Mengulas lanjut, G25 turut menyatakan kebimbangan bahawa cadangan garis panduan itu akan menyebabkan ramai umat Islam mengelak daripada menghadiri majlis penganut agama bukan Islam kerana takut melanggar garis panduan, sekali gus melemahkan hubungan sosial.
"Cadangan ini seolah-olah menunjukkan bahawa Islam di Malaysia tidak cukup kuat iman, sedangkan ia sudah menjadi agama Persekutuan dihormati.
"Umat Islam mampu membuat keputusan sendiri tanpa perlu diawasi melalui garis panduan seperti ini,” tambah kumpulan itu.
Selain itu, G25 juga menegaskan cadangan berkenaan boleh menimbulkan salah faham terhadap komuniti bukan Islam, seolah-olah mereka mempunyai agenda tersembunyi untuk mempengaruhi umat Islam melalui jemputan ke acara keagamaan atau kebudayaan mereka.
"Kita tidak boleh membenarkan perasaan curiga seperti ini tercetus, walaupun mungkin secara tidak sengaja, wujud dalam kalangan masyarakat jika kita ingin menjadi sebuah negara Madani bersatu,” kata G25.