SHAH ALAM - Masyarakat di Malaysia perlu bertindak lebih efektif dan mengikut undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras jenayah rasuah.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, orang awam terutama golongan akademik bijaksana perlu mempunyai cara dan kaedah yang lebih berkesan bagi membantu kerajaan dalam menangani jenayah rasuah.
"Mereka boleh adakan pelbagai kaedah ilmiah dan yang di luar kotak selain menjadikan tunjuk perasaan sebagai satu jalan penyelesaian.
"Niat kita untuk menceritakan keresahan atau bantahan tidak semestinya melalui cara tunjuk perasaan atau permulaan kepada demonstrasi, kerana ia juga satu kesalahan bagi undang-undang negara jika berlaku tanpa keizinan atau permit daripada pihak polis.
"Rakyat secara umum perlu sedar bahawa ketika hendak menyatakan niat yang baik, cara dan kaedah kita juga perlu baik serta tidak boleh menyalahi mana-mana peraturan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan aktivis mahasiswa, hanya kerana duduk dan memberi sokongan kepada rakan mereka yang memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.
Setiausahanya, Muhammad Zaim Zulkifli Ariff juga mendakwa, polis telah mengugut tidak mahu melepaskan aktivis yang sedang disoal siasat jika mereka enggan bersurai daripada bersolidariti.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan kes tersebut, Nor Halmey berkata, kerajaan perlu tegas melaksanakan tuntutan undang-undang sedia ada agar negara sentiasa berada dalam keadaan baik serta aman.
"Jika perkara begini menjadi kebiasaan kemungkinan ia akan menjadi ikutan pihak lain dan akhirnya semua pihak akan menggunakan cara serta kaedah itu.
"Nasihat saya, jika kita ingin menggunakan saluran himpunan aman sebagaimana termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) perlulah kita mengikut saluran peruntukan yang ada,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara yang dilakukan oleh pihak polis pula adalah suatu tanggungjawab wajib dilakukan untuk mengawal keamanan atau keselamatan dan mereka hanya akan bertindak apabila berlakunya sesuatu diluar jangkaan sahaja.