Lelaki cedera langgar tapir tercampak dari laluan bertentangan

Iklan
Kemalangan itu menyebabkan tapir berkenaan mati di lokasi kejadian. Foto polis

KEMAMAN - Seorang pemandu lelaki mengalami kecederaan selepas keretanya terlanggar seekor tapir yang tercampak dari laluan bertentangan akibat dilanggar sebuah lagi kenderaan di Kilometer 317 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, kejadian berlaku jam 6.30 pagi itu turut menyebabkan tapir berkenaan mati di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan jenis BMW M3 yang dipandu seorang lelaki berumur 31 tahun dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu BMW tersebut telah terlanggar tapir yang tiba-tiba melintas. Akibat kemalangan itu, tapir tersebut telah tercampak ke laluan bertentangan di LPT.

Iklan

"Pada masa sama haiwan itu telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Akibat kemalangan itu, Wan Muhammad berkata, pemandu kereta Perodua Myvi tersebut mengalami kecederaan luka di kening sebelah kanan dan menerima rawatan di Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Pemandu BMW M3 pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Jadi kita menasihatkan pengguna lebuh raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di LPT2 dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan," ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menghulurkan bantuan kepada seorang pemandu kereta yang terlibat kemalangan di LPT2 pada Jumaat.

Kejadian itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang berkuliah mingguan pagi Jumaat di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Peristiwa itu dikongsikan Mohd Khairuddin melalui Facebook rasminya yang memaparkan video berdurasi 9 saat menunjukkan beliau sedang mengangkat beg dan bagasi yang dipercayai milik mangsa kemalangan tersebut.