PLKN: Ketua Pengarah JLKN perjelas pemilihan uniform celoreng tentera darat

Iklan
Ya'cob

KUALA LUMPUR - Pemilihan uniform loreng Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk kegunaan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang diperkenalkan semula tahun ini dibuat selepas mengambil kira hasil kajian termasuk pelaksanaan di negara-negara lain.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran berkata, hasil kajian mendapati hampir kebanyakan negara yang mewujudkan program tersebut menggunakan uniform tentera tersebut.

Iklan
Iklan

Malah katanya, uniform yang digunakan itu juga ditetapkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Selain faktor uniform loreng tentera darat digunakan hampir kesemua negara yang memperkenalkan program khidmat negara ini. Pemilihan uniform ini turut melalui proses spesifikasi dan ujian.

Iklan

"Selain itu juga, kos untuk menyediakan uniform ini juga lebih murah berbanding uniform asal sebelum ini kerana banyak tempat yang menawarkannya. Tapi loreng biru ini tidak banyak tempat yang boleh buat, jadi sebab itu kosnya lebih tinggi," katanya ketika Sesi Taklimat PLKN 3.0 bersama Editor Kanan Media di Rejimen 515 Askar Wataniah di sini pada Khamis.

Ya'cob ketika memberi taklimat kepada media di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dibangkitkan pelbagai pihak di media sosial berhubung pemilihan uniform celoreng tentera darat.

Iklan

Terdahulu, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 yang bermula 12 Januari lalu hingga 25 Februari depan.

Pelatih siri pertama 2025 membabitkan 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 hingga 25 tahun akan menjalani latihan selama 45 hari di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini.

Sepanjang program itu, pelatih akan diberi pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik, dengan modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun dan purata perbelanjaan RM600 juta setahun.

Program itu kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 susulan langkah rasionalisasi perbelanjaan, namun diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.