'Jangan polemik garis panduan Muslim hadiri majlis perayaan bukan Islam'

Iklan
Mohd Na'im Mokhtar

SHAH ALAM - Semua pihak diminta tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan cadangan penyediaan garis panduan penglibatan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam sehingga menimbulkan keresahan awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Jelas beliau, ini kerana tujuan garis panduan sedang dibangunkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) adalah mulia, demi memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksana secara tertib dan seterusnya menjadi wadah pengukuhan keharmonian negara.

Iklan
Iklan

Katanya, tujuan lain pembangunan garis panduan berkenaan adalah bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia.

"Menerusi garis panduan sedang dibangunkan tersebut, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

Iklan

"Garis panduan yang sedang dibangunkan itu juga adalah bersifat nasihat. Setelah ia dimuktamadkan nanti, garis panduan ini akan memandu dan merancakkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.

"Ini secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Mohd Na'im menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain pada penghujung bulan Februari ini.

Beliau berkata, garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Cadangan itu bagaimanapun ditentang Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dengan Ketua Pemudanya, Woo Kah Leong mencadangkan kerajaan membatalkan pelaksanaanya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im mendedahkan garis panduan ini masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126.

"Jawatankuasa Muzakarah MKI dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta dianggotai mufti-mufti dan pakar-pakar akan membuat satu keputusan yang kemudiannya bakal diangkat kepada pertimbangan mesyuarat MKI dipengerusikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak," katanya.