KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pintu besi dan laluan tangga sunyi yang dijaga lelaki di hadapan bangunan rumah kedai di Jalan Pudu, di sini, rupanya berselindung dengan disyaki menawarkan aktiviti pelacuran wanita asing.
Kegiatan haram itu dibongkar menerusi Op Gegar sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, pada Rabu, hasil risikan selama dua minggu.
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi berkenaan mendapati kira-kira 10 bilik ditempatkan di dua tingkat premis terbabit.
Semasa serbuan, beberapa pelanggan dikesan berada di bilik wanita terbabit yang dilengkapi katil serta tandas selain tingkat yang diletakkan kamera litar tertutup (CCTV).
Salah seorang pelanggan berusia lingkungan 20-an yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui premis itu sejak beberapa bulan lalu.
"Saya datang cuma nak lepas rindu. Sebelum ini memang berurusan dengan dia (wanita) ini pun.
"Hari ini kebetulan tidak kerja jadi saya datang untuk berjumpanya," katanya.
Sementara itu, wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Yuzi memberitahu, dia terjebak dengan kerja maksiat ini selepas diberitahu oleh rakan sebelum datang ke Malaysia pada September lalu.
Wanita ini juga mendakwa pernah dilayani sehingga 10 lelaki sehari.
"Saya tahu kesalahan untuk kerja ini. Sebelum ini saya kerja sebagai pembantu pejabat di negara asal, tapi gaji rendah," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi serentak bermula kira-kira jam 5 petang ke atas dua premis di Jalan Tun Razak dan Jalan Pudu berjaya menahan 20 individu membabitkan enam lelaki dan 14 wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an.
Jelasnya, semakan mendapati tiga ialah warga tempatan, Indonesia (9), Vietnam (4), Bangladesh (3) dan India (1).
"Siasatan awal mendapati premis dikunjungi pelanggan di kalangan warga tempatan dan asing.
"Dipercayai premis dikawal tonto bagi memantau pergerakan dan kehadiran pihak berkuasa selain peranan individu disyaki sebagai 'kapten' di dalam premis," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.