SHAH ALAM - Program Jejak Harmoni (JH) yang ditayangkan menerusi saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya menerima tontonan 2.7 juta orang termasuk di media sosial.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr S Shatesh Kumar berkata, pihaknya gembira program JH anjuran bersama RTM serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mendapat sambutan baik daripada penonton.
Shatesh Kumar berkata, ini adalah salah satu kejayaan JPNIN dalam usaha mempamerkan realiti keharmonian antara rumah ibadat dan penganut agama sambil menghasilkan karya memenuhi citarasa penonton di Malaysia.
"Melalui enam episod JH, masyarakat dihidangkan dengan penerangan ringkas serta padat mengenai bagaimana hubungan di antara rumah ibadat yang berada berhampiran di antara satu sama lain.
"Lebih menarik, ada dalam kalangan rumah ibadat yang membuka ruangan parkir untuk memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat setiap minggu. Insiatif itu membantu umat Islam memenuhi keperluan parkir kereta yang tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Untuk rekod, kesemua episod JH masih boleh diikuti penonton yang berminat menerusi saluran YouTube HARMONI.
Bagi mengetahui bentuk resipi keharmonian dan perpaduan negara yang diadun secara teliti oleh Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud dan Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama JPNIN.
Rancangan JH dihos dua selebriti semakin meningkat naik, Danial Dashuki dan Daniel Leong dengan penglibatan mereka turut menjadi salah satu faktor penyumbang kejayaan tontonan mencapai 2.7 juta orang di media sosial.
Menurutnya, JH adalah rancangan televisyen cetusan idea Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyahut gagasan dan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melihat masyarakat di Malaysia hidup harmoni dan aman damai.
Oleh itu, Satesh Kumar mengucapkan setinggi penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memberi laluan kepada program JH untuk ditayangkan melalui saluran TV1 sebagai usaha memupuk kesedaran hidup bermasyarakat di negara ini.