'Saya nampak dia sugul, macam tak nak balik' - Isteri

Iklan
Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buaya, Rawang Selangor selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Rembau. (Gambar kecil: Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli)

REMBAU-"Saya memang nampak dia sugul macam tak nak balik," kata isteri mekanik maut, Nur Izzaty Abd Jalil, 35.

Iklan
Iklan

Mangsa, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara pada tengah malam Rabu.

Ujar Nur Izzaty, Allahyarham sebelum itu telah bercuti panjang dan pulang ke kediaman mereka di Rawang, Selangor sempena Tahun Baharu Cina.

Iklan

"Sebenarnya arwah cuti sampai hari Ahad sahaja, tetapi dilanjutkan sampai Isnin kemudian Selasa. Entah... tak tahulah, saya memang nampak dia sugul, macam tak nak balik," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rembau pada Rabu.

Berkongsi lebih lanjut, suri rumah itu berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke Johor susulan akan memulakan kerjanya semula di Singapura selepas selesai bercuti.

Iklan

"Arwah dari rumah kami dan bergerak pulang ke Johor dalam jam 10.30 malam Selasa. Selalunya dia ambil masa dalam dua jam setengah untuk sampai sana.

Nur Izzaty (dua kanan) ketika berada di Hospital Rembau susulan nahas libat allahyarham suaminya.

"Tapi dalam jam 2 pagi macam itu saya tunggu dia mesej tidak ada. Jadi saya mesej tanya... abang dah sampai ke, tetapi tidak berjawab. Sementara menunggu itu sampai saya tertidur," katanya.

Ujar suri rumah itu, kira-kira jam 5 pagi, bapa mentuanya datang ke rumahnya memaklumkan suaminya terlibat kemalangan.

"Sebelum kejadian kami berkesempatan bercuti bersama sampai arwah tambah cuti dua hari iaitu Isnin dan Selasa yang mana sepatutnya dia pulang ke Johor pada hari Ahad," katanya.

Allahyarham bekerja di Singapura sejak 2016 sebelum pulang ke negara ini susulan wabak Covid-19 dan bekerja semula di Kota Singa itu pada 2022 sehingga kini.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buaya, Rawang Selangor selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Rembau.

Kemalangan pada jam 12.20 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda CBR ditunggang mangsa, bas, lori muatan habuk kayu mampat, Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum bas itu melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan, Toyota Hilux dan kereta BMW yang berada di belakang laluan sama iaitu lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bas tersebut.

"Selepas perlanggaran tersebut, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan," katanya.