Tembakan sekolah di Sweden korban meningkat kepada 11

Iklan
Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan kira-kira 10 orang maut dan masih belum jelas berapa banyak yang cedera dalam kejadian itu. Foto AFP

COPENHAGEN - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pendidikan dewasa di bandar Orebro, Sweden, menurut polis pada lewat Selasa, seperti dilaporkan oleh agensi berita Jerman, dpa.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan kira-kira 10 orang maut dan masih belum jelas berapa banyak yang cedera dalam kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Polis sedang berusaha mengenal pasti mangsa yang terkorban dan memaklumkan kepada saudara-mara mereka," kata Menteri Kehakiman Sweden, Gunnar Strommer dalam sidang media pada petang Selasa.

"Kita semua mahu mengetahui mengapa ini berlaku," kata Strommer, merujuk kepada insiden tembakan beramai-ramai terburuk yang pernah berlaku di Sweden.

Iklan

Seorang jurucakap polis memberitahu radio SVT Sweden pada pagi Rabu bahawa angka kematian mungkin meningkat.

"Malangnya, kerana kami juga tiada maklumat mengenai keadaan mereka yang sedang dirawat di hospital, terdapat risiko bahawa jumlah itu tidak akan kekal pada 11," katanya.

Iklan

Polis percaya bahawa suspek berada dalam kalangan yang terkorban.

Lelaki itu sebelum ini tidak dikenali oleh polis dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah, kata ketua polis tempatan Roberto Eid Forest.

Penyiasat menganggap suspek bertindak sendirian dan kejadian tembakan itu bukanlah satu tindakan pengganas.

Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan motif ideologi di sebalik kejadian itu, kata penyiasat.

Polis memberi amaran bahawa laporan yang tidak tepat mengenai kejadian tembakan itu sedang disebarkan di media sosial.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dalam satu catatan di platform X pada Selasa, dan menyifatkannya sebagai hari yang amat menyayat hati bagi seluruh rakyat Sweden.

Dalam kenyataan bertulis, Raja Sweden Carl XVI Gustaf turut menyampaikan ucapan takziah dan penghargaan kepada pihak polis, pasukan penyelamat, serta kakitangan hospital atas usaha menyelamatkan nyawa pada hari yang disifatkan sebagai 'hari yang kelam'. - Bernama