IPOH - Polis Perak menumpaskan sindiket penggunaan wang palsu di negeri ini susulan penangkapan lima individu pada 3 Februari lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pihaknya menerima tiga laporan pada 29 Januari lalu daripada pemilik premis perniagaan pakaian dan stesen minyak di daerah Kerian mengenai penggunaan wang palsu di sekitar kawasan berkenaan.
Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, Pasukan Risikan operasi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Perak telah menjalankan operasi menjejak pergerakan ahli sindiket berkenaan.
"Pada 3 Februari kira-kira jam1.30 pagi, satu serbuan telah dilakukan di sebuah inap desa di Pusing, Batu Gajah. hasil serbuan dan pemeriksaan yang dibuat telah berjaya menahan dua orang lelaki dan tiga orang perempuan warga tempatan dalam lingkungan umur 26 tahun hingga 36 tahun.
"Dalam serbuan tersebut, pihak polis menjumpai dan merampas tiga keping wang RM100, sekeping wang RM20, enam telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, satu rim kertas A4, sebilah gunting, beberapa helai pakaian dan sebuah kenderaan bernombor plat palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zulkafli berkata, suspek yang ditangkap berperanan mencetak wang palsu yang digunakan bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian.
Menurutnya, sindiket itu juga menggunakan wang palsu bagi tujuan pembelian telefon bimbit yang dijual melalui media sosial dengan cara bersemuka dengan penjual sebelum menghilangkan diri selepas membayar menggunakan wang palsu tersebut.
Katanya, suspek turut menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini terlibat dalam sembilan kes penggunaan wang palsu di sekitar Ipoh, Batu Gajah, Manjung, Kuala Kangsar dan Kerian.
"Kesemua kes ini telah dilaporkan pada tahun 2024 dan 2025. Sehingga kini, pihak polis telah berjaya menjumpai dan merampas kembali sejumlah 83 keping wang tunai RM100 palsu dan tiga keping
RM20 palsu yang digunakan oleh sindiket sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Zulkafli berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Katanya, kesemua suspek juga turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, narkotik dan komersial malah salah seorang suspek perempuan juga sedang menghadapi perbicaraan berkaitan wang palsu di sebuah mahkamah di Selangor.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 489B, 489C DAN 489D Kanun Keseksaan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 6 Februari untuk siasatan lanjut.