JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret di sini pada Rabu memerintahkan seorang lelaki yang ditahan kerana membakar kereta isterinya di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Colombia, di sini pada jam 10.20 malam, Ahad lalu, direman tujuh hari bermula hari ini.
Majistret, Mohamad Ridhwan Syarizal membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 25 tahun itu mengikut Seksyen Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek berkenaan telah ditahan di Bukit Pasir, Batu Pahat pada jam 12.20 tengah malam.
Malah katanya, selain menahan suspek, polis turut merampas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang digunakan suspek ketika kejadian.
"Setelah hampir tiga hari suspek melarikan diri, akhirnya dia ditahan polis pada jam 12.20 tengah malam di Batu Pahat,” katanya.
Berdasarkan video berdurasi 28 saat yang tular di media sosial itu memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga tempatan berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.
Lelaki yang diburu polis itu merupakan suami kepada wanita berkenaan dan difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum menyimbah petrol ke atas kenderaan itu.
Suspek kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire.