SEMASA bergelar mahasiswa, segelintir daripada mereka nampak mewah bergaya. Malah gaya hidup dilihat tiada beza dengan orang yang sudah bekerja.
Tinggal di kawasan berhampiran kampus, penulis lihat kuasa berbelanja mereka cukup besar, berbeza sungguh zaman belajar 10 tahun lalu.
Lihat sahaja kafe-kafe estetik, restoran makanan segera, kedai kopi hipster malah kedai serbaneka yang popular dengan oden dikunjungi mahasiswa untuk mengisi perut tidak kira waktu.
Secawan kopi berharga hampir RM20 selamba jadi pembasah tekak dengan gaya hidup ala pempengaruh.
Telefon pintar digunakan pula model terkini yang harganya cecah dua bulan gaji eksekutif.
Ironinya nampak cukup mewah zaman belajar. Sama ada menggunakan wang pinjaman pendidikan, biasiswa atau pemberian ibu bapa dan ahli keluarga, terpulang masing-masing mengatur perbelanjaan.
Namun apa yang merunsingkan apabila tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, gaji premium yang mereka diimpikan jauh tersasar.
Sebelum ini tular di media sosial luahan para graduan meletakkan jangkaan gaji permulaan sebanyak RM3,000.
Rata-rata mereka berpendapat industri di Malaysia perlu memberikan gaji pada kadar RM3,000 hingga RM5,000 kepada graduan yang baru mula bekerja.
Mengejutkan, perkongsian itu mendapat banyak reaksi negatif, kecaman serta buli siber warga maya.
Situasi ini menimbulkan semula polemik antara graduan, pemain industri dan masyarakat berapa gaji selayaknya untuk graduan baru mula menjengah ke alam pekerjaan.
Hakikatnya pendapatan graduan baharu di Malaysia kebanyakan tidak seperti dijangka terutama sektor swasta.
Malah eksekutif yang sudah lama bekerja juga menerima gaji di takuk lama, tidak selari dengan kos sara hidup semasa.
Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), realiti pasaran kerja bagi graduan universiti di Malaysia kekal suram dengan gaji permulaan graduan baharu hampir tidak berubah dalam dekad yang lalu.
Dua pertiga daripada graduan baru kekal terperangkap dalam gaji rendah iaitu dengan gaji permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi.
Kaji selidik KRI yang meneliti perkembangan kerjaya graduan Malaysia itu mendapati 65.6 peratus graduan pada 2021 mempunyai gaji permulaan kurang RM2,000.
Di sebalik kegembiraan 4.37 juta pekerja menerima pelaksanaan gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari lalu, turut mengundang pelbagai reaksi daripada graduan.
Ini kerana gaji permulaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baharu bekerja menghampiri gaji graduan institusi pengajian tinggi.
Isu gaji bermaruah untuk graduan bukanlah perkara baharu dan sudah banyak pihak memperjuangkan termasuk pelbagai formula dan cadangan daripada menteri.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan cadangan gaji minimum RM3,000 buat graduan mungkin menjadi realiti dan sudah di peringkat awal perbincangan antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia.
Gaji setimpal diperlukan oleh lepasan universiti kerana mereka sudah mempunyai komitmen selepas tamat pengajian terutama bagi membayar pinjaman pendidikan selain pembiayaan kenderaan, sewa rumah dan kos sara hidup yang semakin meroket.
Jika terus menerima gaji yang rendah tidak setanding tahap pendidikan semestinya mereka tertekan untuk menjalani hidup yang semakin ‘keras’ ketika ini.
Oleh itu, kerajaan digesa perjuangkan gaji bermaruah kepada lepasan ijazah, berbekalkan kelayakan akademik dan kehendak ekonomi semasa.
Apabila berdepan realiti dunia pekerjaan, barulah mereka berasa jadi pelajar lagi mewah daripada bekerja. Hendak beli secawan kopi pun masih berkira-kira!
*Nurkhairini Jumari ialah Penyunting Sinar Harian