RM10 juta bina jejantas motosikal, pejalan kaki

Iklan
Alexander mengadakan lawatan kerja di tapak projek pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki baharu untuk Sekolah Kebangsaan Sungai Leman serta kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan FT005 Sabak Bernam hari ini. Foto Bernama

SABAK BERNAM - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membina jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah kebangsaan (SK) Sungai Leman Sekinchan di sini, berikutan aliran trafik tinggi dan berisiko berlaku kemalangan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keperluan pembinaan jejantas itu amat mendesak lebih-lebih lagi terdapat sebuah sekolah, masjid dan kediaman penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Tadi pun saya telah diberitahu semalam (Isnin) ada kemalangan meragut nyawa juga di lokasi (berhampiran) ini.

"(Pembinaan) Jejantas ini akan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan melancarkan aliran trafik di laluan ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan kerja bagi pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki di Jalan Persekutuan (FT) 5 Sungai Besar - Sabak Bernam di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai tarikh siap pembinaan jejantas itu, Alexander menjelaskan, proses tender dijangka akan dimulakan pada penghujung tahun ini dengan jangkaan siap pada awal tahun 2027.

Iklan

"Projek ini mungkin mengambil masa sedikit kerana terdapat pengambilan tanah yang perlu diselesaikan.

"Oleh itu, saya memohon kerjasama daripada semua pihak, terutama pegawai daerah untuk mempercepatkan proses ini,” tambahnya.

Selain itu, Alexander memberitahu, beberapa projek lain turut diluluskan kerajaan termasuk penyelenggaraan jalan FT05 di Sabak Bernam yang melibatkan kos sebanyak RM3 juta.

Beliau memberitahu, projek itu merangkumi kerja baik pulih jalan kritikal, pembaikan sistem perparitan kedua yang bernilai RM2.26 juta dan menaik taraf lampu jalan dengan pemasangan lampu solar serta pembaikan lampu isyarat bernilai RM750,000.

"Jumlah keseluruhan peruntukan yang diberikan untuk Sabak Bernam dan kawasan sekitar adalah RM4.61 juta, manakala projek tambahan di Kuala Selangor turut diluluskan dengan peruntukan khas sebanyak RM1.6 juta," kata beliau.