KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan 1.6 juta pelancong memilih inap desa dan 'Kampungstay' sepanjang tahun ini melibatkan penjanaan pendapatan sebanyak RM100 juta.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang 2030 sasaran pelancong yang memilih sektor itu disasarkan sehingga lima juta orang dengan penjanaan pendapatan sebanyak RM500 juta.
"Sejajar dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, saya berharap ia dapat menjadi titik lonjakan bagi industri inap desa untuk terus berkembang.
"Ia sekali gus memberikan manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Inap Desa dengan Pihak-Pihak Berkepentingan Kali Ke-2 di Bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.
Menurut Ahmad Zahid, sepanjang tahun lalu, Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) yang berkonsepkan pengalaman berjaya menarik minat 829,803 pelancong tempatan dan antarabangsa.
Jelas beliau, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 3,578 peserta dari desa telah menyertai PPHM dengan menjana pendapatan sebanyak RM54,896,725 sekali gus berjaya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup penduduk tersebut.
Dalam pada itu, katanya, industri inap desa berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi desa serta mewujudkan peluang pendapatan baharu.
"Oleh itu, pengusaha inap desa perlu bersedia untuk meningkatkan daya saing melalui penambahbaikan infrastruktur, pemasaran digital dan penyediaan pengalaman unik yang menonjolkan budaya serta keindahan semula jadi Malaysia.
"Saya turut menggesa agar pelbagai inisiatif diambil bagi membantu pengusaha inap desa mengatasi cabaran antaranya pendigitalan, untuk meningkatkan visibiliti Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia terutamanya pelancongan berasaskan komuniti ke arah Kempen Melawat Malaysia 2026," katanya.