SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersedia berkongsi pengalaman bersama negeri lain dalam meningkatkan keterjaminan makanan Malaysia sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan kepada import dari negara luar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun Selangor merupakan nadi ekonomi Malaysia, namun negeri itu sentiasa tekankan kepentingan keterjaminan makanan.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluasan tanah tetapi kualiti tanah secara mampan dan bukannya jangka masa pendek.
"Alhamdulillah usaha pemodenan proses pertanian termasuk kaedah guna pakai tanah di Pantai Barat Selangor seperti Sekinchan mula membuahkan hasil dan diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan.
"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi X pada Selasa.
Terdahulu, kerajaan bercadang mengaplikasikan kaedah pertanian dilaksanakan di Sekinchan, Selangor yang terbukti telah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Anwar berkata, perkara itu, berikutan produktiviti pengeluaran padi di empat negeri tersebut yang sangat rendah berbanding di Sekinchan.