KUALA LUMPUR – Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin di peringkat antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan minggu lalu menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya dalam mengecam kezaliman Israel dan desakan gencatan senjata di Gaza.
"Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu kemanusiaan. Dunia harus melihat kezaliman yang berlaku dan bertindak segera bagi memastikan keadilan ditegakkan untuk rakyat Palestin," katanya.
Di PBB, Malaysia secara konsisten menyokong resolusi yang mengutuk tindakan Israel dan mendesak masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah lebih tegas.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia turut memainkan peranan dalam menyatukan suara negara-negara Islam dalam sidang OIC bagi memperkukuhkan tekanan terhadap Israel.
"Diplomasi Malaysia dalam isu ini jelas dan tegas. Kita mahu dunia mengambil tindakan konkrit, bukan sekadar kenyataan tanpa hasil,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Selain diplomasi, Malaysia turut aktif dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Palestin, MyCARE, dan MAPIM.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, bantuan dalam bentuk kewangan, makanan dan ubat-ubatan telah dihantar ke Gaza meskipun berdepan cabaran logistik.
"Kami mendapat sokongan penuh daripada rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyumbang. Ini menunjukkan solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin sangat tinggi,” katanya.
Di peringkat domestik, kempen boikot terhadap produk dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel semakin mendapat momentum.
Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, bahawa tekanan ekonomi boleh menjadi salah satu cara untuk memberi kesan langsung terhadap entiti yang menyokong Israel.
"Walaupun Malaysia bukan negara besar dari segi ekonomi global, kesan boikot dari negara-negara Islam termasuk Malaysia mampu memberi tekanan yang signifikan," katanya.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal sebagai antara negara yang paling lantang dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Walaupun ASEAN secara keseluruhan bersikap neutral, Malaysia berusaha mengajak negara-negara jiran untuk menyatakan pendirian yang lebih tegas.
Selain itu, Malaysia juga berani mengkritik negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang sering menyokong tindakan Israel. Kritikan ini bukan sahaja datang daripada kerajaan, malah turut disuarakan oleh rakyat dan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia.
Meskipun berdepan cabaran dari segi pengaruh dan tekanan antarabangsa, Malaysia dijangka terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
Pendirian tegas kerajaan, sokongan rakyat yang berterusan, serta usaha diplomasi dan kemanusiaan yang tidak pernah luntur menjadikan Malaysia antara negara paling vokal dalam isu ini di peringkat global.