BENARLAH kata bidalan; tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah jugalah kisahnya dengan pelakon dan penyanyi popular Azira Shafinaz atau dikenali juga sebagai Azira De Fam.
Siapa sangka bermula dengan trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA), wanita berusia 33 tahun itu sekali lagi menjadi perhatian juri Asia sehingga melayakkannya membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61, tahun lalu.
Kemenangan itu sekali gus melonjakkan pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan di kalangan penggiat filem negara-negara Asia Pasifik.
Tidak berselindung, wanita yang sudah lebih satu dasawarsa dalam industri seni itu mengakui diintai beberapa produksi dari luar.
Bagaimanapun tidak mahu teruja berkongsi cerita, Azira berkata, setakat ini semuanya masih lagi dalam perbincangan dan beliau masih mempertimbangkan tawaran yang datang.
"Ketika APFF berlangsung tahun lalu, filem lakonan saya, Indera turut ditayangkan kepada deligasi daripada negara Asia Pasifik lain.
"Jadi ada beberapa penerbit yang tonton filem itu dan luahkan minat untuk mengambil saya berlakon di bawah projek filem mereka. Cuma setakat ini semuanya masih dalam perbincangan," ujarnya.
Azira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran siri One Cent Thief musim kedua di TGV Suria KLCC baru-baru ini.
Tutur Azira, meskipun sudah dua kali mendapat pengiktirafan di peringkat Asia, beliau merasakan kehadirannya dalam industri seni masih kecil.
Namun dalam masa sama, anak jati Kuala Lumpur itu tidak akan sesekali melepaskan peluang seandainya ada pihak luar berminat untuk mengambilnya berlakon.
"Sejujurnya saya memang mengimpikan untuk jadi pelakon dan bila sudah mendapat pengiktirafan dan tawaran bekerja di peringkat Asia, saya sudah rasa puas dengan apa yang saya berikan dalam lakonan.
"Cuma saya harap peluang itu tidak berhenti di situ sahaja. Selain berlakon dengan produksi luar, saya teringin juga untuk berlakon teater. Saya mahu cuba sesuatu yang berbeza," jelasnya.
Sudah dua kali mendapat pengiktirafan daripada juri luar, pastinya Azira tidak terlepas ditanya tidakkah timbul rasa terkilan kerana bakatnya belum menjadi perhatian sepenuhnya di negara sendiri?
Tetap tersenyum, Azira berkata, sebagai manusia biasa pastinya timbul perasaan itu tetapi beliau enggan terbawa-bawa dengan rasa negatif.
"Kalau ikutkan nama saya pernah sahaja sangkut dalam top 5 anugerah di Malaysia tetapi belum rezeki untuk merangkul pulang trofi itu.
"Dalam masa sama, saya tidak nafikan di sini, populariti lebih jadi keutamaan. Saya tidak sedih, cuma saya harap mereka yang lebih berbakat sepatutnya diberikan lebih perhatian. Saya bukan merujuk diri sendiri, tetapi ada banyak lagi bakat di luar sana yang tidak diberikan perhatian sewajarnya," katanya yang mahu terus memperbaiki kelemahan diri.
Penghargaan
Bukan hanya mendapat perhatian penerbit filem luar, Azira tidak menafikan siri One Cent Thief telah melonjakkan namanya di negara jiran.
Ujar Azira, beliau dihubungi peminat dari Singapura dan Thailand yang kagum dengan persembahannya sebagai Intan dalam siri itu.
"Saya terkejut juga bila ada peminat dari Thailand yang hantar mesej beritahu tonton siri itu dan One Cent Thief musim pertama berada dalam senarai Top 10 platform Netflix di negara itu dan Filipina.
"Bila terima penghargaan sebegitu, saya harap penonton di Malaysia juga boleh terus beri sokongan menerusi tayangan musim kedua pula," ujarnya.
One Cent Thief musim kedua mengangkat isu konflik dalaman keluarga, intergriti dalam pekerjaan, permainan politik kotor dan salah guna kuasa dengan memanipulasi undang-undang bagi kepentingan peribadi di bawah siri Astro Originals dan menemui penonton setiap Jumaat, mulai 31 Januari lalu.
Selain Azira, siri itu masih mengekalkan watak dari musim pertama seperti Syafiq Kyle, Faizal Hussien, Sofia Jane, Fabian Loo dan turut dimeriahkan dengan kehadiran muka baharu iaitu Syarul Ezani, Trisha Ooi serta Shashi Taran.