JOHOR BAHRU - MCA menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi menyelesaikan pertelingkahan yang dihadapi sebelum terlambat.
Bagaimanapun Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon berkata, sekiranya Muhamad Akmal tetap ingin meneruskan tindakan saman, parti itu bersedia menghadapinya dengan tenang.
Tian Soon yang juga Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor menerusi kenyataan sama turut melahirkan kekecewaannya kerana perayaan Tahun Baharu Cina yang sepatutnya diraikan dengan penuh dengan keharmonian tetapi telah terjejas akibat satu hantaran yang disalah tafsir dan diputar belit, sehingga mengundang kecaman dan kritikan sesetengah pihak.
"Pihak kami jelas dan memahami impak isu frasa Mandarin 'Dian Ma' yang telah mencetuskan salah faham sesetengah pihak dan mengundang kemarahan Dr Akmal.
"Bagaimanapun, terdapat perkataan yang mempunyai bunyi sama tetapi membawa maksud berbeza.
"Kadangkala terjemahan secara literal atau tafsiran salah, mudah mengundang konflik dan salah faham sehingga membabitkan cacian dan cemuhan kepada sesetengah pihak.
"Namun, adakah kita perlu terperangkap dalam permainan dan fitnah ditaburkan oleh pihak yang berniat jahat ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Muhamad Akmal menempelak kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang mendakwa beliau tidak disukai orang Melayu.
Muhamad Akmal berkata, perjuangannya demi mempertahankan agama dan bangsa bukan untuk disukai ramai, tetapi dilakukan atas rasa tanggungjawab menjaga kesucian agama dan bangsa.
Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng menjelaskan, biarpun MCA diperli dan diperlekehkan kerana Parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai merupakan majoriti pengundi Melayu namun wakil rakyat di situ berusaha keras membangunkan masyarakat.
"Namun selepas kemenangan ini, dua wakil rakyat kami aktif berusaha untuk menghargai sokongan daripada semua kaum serta berikhtiar dan bekerja keras dalam pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan kepada rakyat.
"Dalam banyak kerusi yang dimenangi BN, terdapat juga kerusi dimenangi dengan majoriti tipis, dan kemenangan itu turut disokong oleh ahli serta penyokong MCA. Kami tidak akan mengambil kredit kerana kami sedar bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha bersama semangat BN," ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Muhamad Akmal bahawa MCA perlu merenung fakta bahawa parti itu mempunyai dua wakil rakyat di Parlimen kerana sokongan kaum Melayu.
Mengulas lanjut, Tian Soon memberitahu, MCA bersedia untuk bertemu Muhamad Akmal pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja bagi membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama parti serta menumpukan perhatian kepada pembangunan negara dan kepentingan rakyat.
"Kita perlu kembali kepada asas penubuhan negara dan parti, memastikan bahawa Perlembagaan melindungi hak setiap rakyat, memperjuangkan kepentingan bersama semua kaum serta mengukuhkan BN sebagai pemangkin kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara," katanya.