YAN - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) kecewa apabila masih belum menerima maklum balas daripada pejabat Perdana Menteri (PMO) mahupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung gesaan mereka menaikkan harga belian padi.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, pada 27 Januari lalu beliau mewakili pesawah telah menyerahkan memorandum kepada wakil PMO dan wakil menteri KPKM.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta satu garis masa agar maklum balas dapat diberikan memandangkan pesawah-pesawah di utara akan memasuki musim menuai padi.
"Tapi setakat ini kami masih belum terima apa-apa keputusan tentang permohonan kami. Oleh sebab itu pesawah-pesawah ini masih bersuara,” katanya ketika ditemui di Program Himpunan Pesawah menuntut kenaikan harga padi di Bukit Besar di sini pada Isnin yang dihadiri kira-kira 150 pesawah.
Menurutnya, susulan itu pihak pertubuhan akan ke Putrajaya untuk mengetahui perkembangan perbincangan mengenai memorandum yang dihantar.
"Lagipun sehingga kini tidak ada satu pun kenyataan balas daripada pihak PMO atau KPKM,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, baru-baru ini pihak pengilang telah menaikkan harga belian padi kepada RM1,500, namun ia bukan jaminan kerana tiada satu ketetapan rasmi daripada kerajaan.
"Memang ada kilang yang naikkan harga tetapi ada juga kilang yang tidak mampu, jadi mereka masih membeli pada harga yang rendah.
"Jadi di sini sudah berlaku ketidakadilan kepada pesawah kerana harga yang dibeli berbeza-beza sedangkan mereka mengalami peningkatan kos yang sama. Oleh sebab itu kami minta kerajaan tetapkan harga padi pada RM1,800," katanya
Jelasnya, jumlah itu telah mengambil kira segala kos kenaikan ketika ini termasuk diesel dan kami bukannya suka-suka meletakkan harga terbabit.
"Tak ada orang yang buat bendang sebab nak rugi. Sepatutnya ketika pelaksanaan penyasaran diesel sebelum ini kerajaan juga perlu membuat satu kaji selidik atau penilaian untuk tengok bila buat penyasaran diesel itu apa kesannya kepada pesawah,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, siri demonstrasi yang diadakan ini akan diteruskan selagi tiada kata putus daripada pihak kerajaan mengenai gesaan mereka.
"Hari ini adalah siri ke-17 sejak 11 Januari lalu. Saya difahamkan esok akan ada juga demonstrasi. Kami bukannya memberontak tetapi mahu menyuarakan isi hati yang sudah lama dipendam.
"Lebih sedih lagi bila Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar kata kami hanya kejar harga berbanding hasil, sedangkan kami sangat tersepit,” ujarnya.