Wajah muda disangka pelajar sekolah, ternyata kru kabin

Iklan
Wajah muda Danial membuatkan ramai menganggap dirinya pelajar sekolah namun ternyata sudah dua bulan bekerja sebagai krew kabin.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hanya kerana memiliki raut wajah seperti seorang remaja, ramai menyangka pemuda yang juga kru kabin sebuah syarikat penerbangan ialah seorang pelajar sekolah menengah.

Mendedahkan perkara tersebut, Danial Anas Aizat Ahmad Samhan, 21, tidak menyangka video yang dikongsi di akaun TikTok miliknya tular.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil perkongsian itu ternyata ramai yang meninggalkan komen positif malah ada yang mengungkapkan rasa teruja untuk ‘terbang’ bersamanya.

"Sebenarnya pelik juga apabila menerima komen yang menganggap saya seperti pelajar sekolah.

Iklan

"Mungkin mereka melihat saya di dalam video terutama ketika senyum, nampak seperti itu tetapi jika bertemu saya yakin ramai yang akan menganggap saya sudah berumur 23 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, tular di TikTok video memaparkan seorang lelaki berkongsi momen ketika mempersiapkan diri sehingga mendapat banyak komen yang menganggap dirinya bersiap untuk ke sekolah.

Iklan

Ditanya mengenai perjalanan menyertai krew kabin, Danial berkata, dia baru sahaja menceburi kerjaya tersebut dua bulan lalu selepas berdepan dengan beberapa cabaran selepas mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.

Katanya, dia telah berjaya menempatkan diri di Institut Pendidikan Guru (IPG) namun terpaksa melupakan hasrat tersebut selepas terlibat dalam satu kemalangan.

"Dahulu saya bersekolah di Sekolah Seni Perak, Alhamdulillah berjaya mendapat keputusan SPM cemerlang.

"Cuma ketika itu, saya mengalami kemalangan dan patah kaki menyebabkan perlu melalui tempoh lama untuk sembuh kerana syarat kemasukan ke IPG memerlukan seseorang yang sihat tubuh badan.

"Apabila saya cuba untuk memohon semula, saya perlu bersaing dengan pelajar lepasan SPM tahun berikutnya dan akhirnya memilih untuk bekerja secara sambilan terlebih dahulu,” jelasnya lagi.

Melihat rakan-rakan sebaya sudah mengorak langkah demi masa depan masing-masing, Danial tekad mencuba perkara baru.

Katanya, sekadar mencuba nasib apabila melihat iklan kekosongan jawatan kru kabin Air Asia namun akhirnya dipanggil untuk temu duga dan berjaya mendapat jawatan tersebut.

"Sebenarnya bertugas sebagai kru kabin ini masih mendapat persepsi bekerja sama seperti pelayan kedai makan walaupun hakikat sebenar lebih daripada itu.

"Jika berlaku sebarang kecemasan di dalam kapal terbang, kru kabin yang bertugas ketika itu memikul tanggungjawab besar lebih-lebih lagi melibatkan ratusan nyawa,” katanya.

Danial turut menitip pesan buat pelajar supaya tidak takut untuk cuba perkara baru dan sentiasa yakin dengan rezeki yang telah ditetapkan.

"Kepada adik-adik jangan cepat putus asa kerana kita tidak tahu rezeki kita dekat mana dan dekat dunia banyak lagi perkara baru yang boleh kita cuba,” katanya.