IPOH - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim membuat laporan polis pada Ahad susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat lalu.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat setelah imam tersebut mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.
Jelas Hasnul Zulkarnain, tindakan itu disifatkan satu keingkaran melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berada di bawah naungan baginda.
"Laporan polis ini dibuat adalah untuk meminta pihak polis membuat siasatan. Dalam masa yang sama, mungkin ada tindakan tegas daripada pihak JAIPk susulan daripada laporan polis saya ini.
"Jadi, ini adalah satu usaha saya untuk cuba memperbetulkan pentadbiran masjid-masjid yang agak sedikit longgar dan memberikan pandangan yang tidak bagus kepada pentadbir masjid yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Ahad.
Hasnul Zulkarnain berkata, masyarakat Islam di negeri ini sepatutnya diberikan maklumat yang benar seperti mana khutbah yang disediakan oleh pihak JAIPk.
Katanya, ini kerana khutbah merupakan satu elemen menasihati setiap minggu kepada umat Islam.
"Ini satu perkara yang sepatutnya tidak berlaku dan sangat menyedihkan. Saya difahamkan ada beberapa lagi masjid yang berlaku kes begini.
"Saya sangat kecewa kerana acap kali kita diberitakan titah Tuanku Sultan bahawa masjid ini perlu dipelihara keharmoniannya dan masjid ini adalah tempat menimba ilmu, tempat untuk membentuk peribadi yang baik," katanya.
Pada Sabtu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta JAIPk menyiasat dakwaan seorang khatib yang dikatakan tidak membacakan teks Khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri itu.
Beliau berkata, perkara berkenaan seharusnya tidak timbul kerana setiap teks Khutbah Jumaat telah disiapkan lebih awal iaitu kira-kira sebulan atau dua bulan sebelum ia diterbitkan untuk edaran.