TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Sebutir bom lama jenis mortar ditemukan oleh seorang pemancing di Pantai Sri Tujuh di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerusi Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan menerima maklumat daripada pemuda berusia 26 tahun itu pada jam 2.28 petang.
"Semasa sedang memancing ikan di kawasan Pantai Sri Tujuh Resort, pemancing itu melihat bom tersebut yang tersangkut di dalam tayar lama di kawasan berbatu berhampiran tebing pantai.
"Dia terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, sejurus menerima maklumat orang awam itu, Unit Kereta Peronda IPD Tumpat dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bergegas ke lokasi penemuan.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati bom berkenaan adalah jenis mortar berukuran 61 milimeter yang sudah lama dan berkarat.
"Proses pemusnahan bom dilakukan pada jam 5 petang pada hari yang sama di lokasi penemuan oleh Unit Pemusnah Bom,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD terbabit di talian 09-7257222.