SHAH ALAM - Malaysia perlu rangka pelan pelaburan lebih mampan dengan rakan perniagaan selain Amerika Syarikat (AS) seperti mengukuhkan perdagangan negara ASEAN.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, pelan tersebut juga wajar diteruskan dengan kerjasama perdagangan antara negara BRICS.
"Disebabkan pengumuman tarif terkini, sebenarnya kita ada impak negatif dan positif. Impak negatifnya apabila barangan kita yang mahu memasuki AS mungkin akan dikenakan tarif serta akan jadi lebih mahal.
"Impak positifnya pula, barangan yang tak boleh memasuki AS mungkin akan melalui Malaysia. Negara kita akan menjadi pintu gerbang ditambah lagi Malaysia jadi Pengerusi ASEAN bagi 2025. Jadi pada pandangan saya, masih belum kita boleh nilai secara lanjut lagi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, ringgit menyusut berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan sentimen pasaran yang merosot selepas pengumuman tarif terkini oleh Presiden AS, Donald Trump yang menyasarkan China, Kanada dan Mexico.
Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.4550/4600 berbanding dolar AS daripada 4.3905/3980 pada Selasa.
Dalam pada itu, Baharom juga berpendapat perjanjian Trump menghalau imigran atau pekerja asing termasuk kenaikan tarif dianggap merugikan.
"Kalau dia buat semua ini, siapa rugi? Semestinya ekonomi AS dan rakyatnya serta tidak mustahil suatu hari nanti tunjuk perasaan besar-besaran.
"Memang kita terjejas jangka masa pendek, tetapi ia penyesuaian di mana ia akan memberikan pembuat polisi bukan sahaja Malaysia di ASEAN, malah di China, Brazil, Rusia atau India untuk polisi jangka masa panjang lebih baik.
"Walaupun kita hanya negara kecil, tetapi kita ada rakan perdagangan ramai dengan syarat semua semua negara harus bersatu padu,” ujar beliau.
Jelasnya, pelan perancangan perlu disokong pembuat polisi, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan bahagian pelaburan untuk melaksanakan pelan alternatif.