JOHOR BAHRU – Biarpun berbeza agama dan keturunan, ia bukan penghalang bagi keluarga Mohamad Nor Azmi Ng Abdullah @ Ng Kong Wye, 71 dan Tengku Norasikin Ahmad, 70, merayakan Tahun Baru Cina bersama pada setiap tahun.
Malah, ketibaan perayaan itu sememangnya dinanti-nantikan kerana ia merupakan masa untuk mereka sekeluarga berkumpul dalam suasana yang gembira dan muhibah.
Anak bongsu pasangan itu, Muhammad Nazri Mohamad Nor Azmi Ng, 36, berkata, setiap tahun pasti ramai sanak saudaranya dari pelbagai peringkat umur yang akan berkumpul bagi meraikan Tahun Baharu Cina.
Pengarang Berita di Royal Press Office (RPO), Johor itu berkata, mereka akan menikmati pelbagai juadah enak, selain berkongsi kisah masing-masing dalam suasana yang ceria dan meriah.
"Perayaan utama keluarga kami adalah Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Ketibaan kedua-dua perayaan besar ini memang dinanti-nantikan oleh semua.
"Selain itu ada juga saudara mara yang datang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dari luar negara seperti Luxembourg, Thailand dan Australia,” katanya kepada Sinar Harian.
Bercerita lanjut, Muhammad Nazri berkata, ibu bapanya mengenali satu sama lain sejak bangku sekolah.
Jelas beliau, bapanya bersekolah di St. Joseph Johor Bahru dan ibunya yang merupakan pelajar Sekolah Convent, Johor Bahru, mendirikan rumah tangga pada 21 April 1980.
Katanya, mereka sekeluarga juga pernah menetap di Century Gardens, Johor Bahru, sebelum ini.
"Sejak kecil lagi kami sekeluarga dah biasa hidup dalam kalangan pelbagai bangsa. Begitu juga dengan ayah dan ibu.
"Sebagai contoh, ayah sangat menggemari masakan Melayu seperti laksa Johor, kuih muih, asam pedas, mi rebus dan sup kambing sejak dulu lagi. Setelah berkahwin, ibu saya pula mahir masak masakan Cina,” kata beliau.
Tambahnya, selain ibu bapanya, ada juga dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka yang berkahwin campur.
"Memang bertambah meriahlah terutamanya bila menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya.